GOH (kanan) menyerahkan sumbangan Tabung Bencana NSTP-Media Prima kepada mangsa kebakaran sambil diperhatikan Chaco. FOTO Abdul Rahemang Taiming
GOH (kanan) menyerahkan sumbangan Tabung Bencana NSTP-Media Prima kepada mangsa kebakaran sambil diperhatikan Chaco. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Oleh Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Hampir 170 keluarga mangsa tragedi kebakaran di Kampung Simunul, di sini, baru-baru ini, menerima sumbangan daripada Media Prima Berhad (MPB) melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima, hari ini.

Sumbangan diserahkan dalam bentuk barangan keperluan antaranya tilam, bantal, kain selimut, makanan, keperluan mandian serta barangan keperluan lain.

Bantuan ini antara lain bagi meringankan beban mangsa bencana berkenaan yang sebahagiannya sehingga kini masih ditempatkan di Dewan Terbuka Kampung Simunul, selain ada yang menumpang di rumah saudara-mara dan jiran terdekat.

Pengagihan sumbangan disempurnakan oleh Pegawai Daerah Semporna, Dr Chacho Bulah bersama Pengurus Cawangan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Sabah, Roy Goh serta Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP.

Dr Chacho, merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima atas sumbangan lebih RM60,000 iaitu antara yang terbesar diterima sejak kebakaran di kampung terbabit pada 3 Oktober lalu.

"Sumbangan ini diharap dapat meringankan sedikit beban mangsa selain barang keperluan yang disumbangkan seperti tilam dan selimut amat diperlukan mereka," katanya.

Terdahulu, dalam kejadian 7.40 malam pada 3 Oktober lalu, hampir 200 rumah di perkampungan air itu musnah terbakar mengakibatkan kira-kira 200 penghuni tinggal sehelai sepinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 4:25 PM