PENIAGA memindahkan barang jualan  akibat kedai mereka dinaiki air di Bandar Kota tinggi, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PENIAGA memindahkan barang jualan akibat kedai mereka dinaiki air di Bandar Kota tinggi, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Keadaan banjir di pusat bandar di sini, semakin buruk apabila paras air terus naik lebih tinggi berbanding semalam.

Tinjauan di pusat bandar berkenaan mendapati air banjir semakin menenggelamkan deretan kedai yang terletak bersebelahan Sungai Johor.

Banjir turut dilihat menenggelamkan kawasan pusat bandar yang tidak terjejas semalam menyebabkan peniaga mula memindahkan barangan dari premis ke tempat lebih selamat.

Semua pintu keluar masuk ke pusat bandar sudah dikawal sepenuhnya pihak berkuasa termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengarahkan semua kenderaan termasuk kenderaan berat berpatah balik berikutan paras air tinggi.

Orang ramai turut dilihat diarahkan beredar segera berikutan hujan lebat tengah hari tadi meningkatkan risiko paras air semakin tinggi akibat limpahan Sungai Johor.

Pekerja estet, Roslan Dahlan, 58, berkata banjir kali ini menyaksikan air naik dengan pantas dan menenggelamkan pusat bandar berbanding semalam.

"Petang semalam penduduk lega apabila hujan lebat mulai berhenti, namun sejak tengah hari tadi hujan lebat semula.

"Limpahan air dari Sungai Johor menyebabkan kawasan ini cepat naik air walaupun semalam hujan berhenti seketika," katanya.

Paras air Sungai Johor dilaporkan melepasi paras bahaya 2.87 meter berbanding paras normal 2.60 meter, sekali gus meningkatkan risiko seluruh pusat bandar ditenggelami air jika hujan lebat berterusan ketika fenomena air pasang besar berlaku.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 4:06 PM