Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Bekas kakitangan awam kerajaan Johor didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan memalsukan dokumen, antara 2017 hingga 2019.

Muhammad Farhan Salleh, 37, yang juga bekas Kerani Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Muhammad Farhan didakwa menggunakan tiga set dokumen Pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atas nama tiga syarikat, iaitu FNL Trading, Neosoft Technology Trading dan Ideal Ventures Enterprises, yang dipalsukan.

Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor, Bangunan Sultan Ismail, Sayap Selatan Kota Iskandar, di Iskandar Puteri, masing-masing pada Januari 2017, Februari 2018 dan Januari 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, sekali.

MUHAMMAD Farhan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memalsukan dokumen, antara 2017 hingga 2019 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MUHAMMAD Farhan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memalsukan dokumen, antara 2017 hingga 2019 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chan Choon Yew manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Terdahulu Pendakwa Raya memohon jaminan RM100,000 dikenakan terhadap tertuduh selain seorang penjamin warga Malaysia.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 atas alasan anak guamnya sudah berhenti berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 2020.

"Tertuduh kini bekerja sendiri sebagai peniaga dengan pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,500 sahaja.

"Ayah tertuduh yang hadir sebagai penjamin adalah bekas penjawat awam yang kini hanya mengharapkan pencen bulanan sahaja," katanya.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen pada 16 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 12:49 PM