Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Penuntut universiti awam di ibu negara, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan memuat naik status menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim, di akaun Facebooknya, Februari lalu.

Tertuduh, Ahmad Muazz Ishak, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Ahmad Muazz dituduh memuat naik status di akaun Facebook yang didaftarkan atas nama MuazzIshak yang tertera perkataan menghina Tunku Ismail.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di premis makanan segera di Jalan Pontian-Skudai, di sini, 11.45 pagi, 5 Februari 2021.

Dia didakwa mengikutSeksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali,dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qayyum Ramlan manakala tertuduh diwakili Muhammad Valantino Ifni Ho Ridzuan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM10,000 dengan tertuduh perlu melapor diri dua minggu sekali di balai polis berhampiran sehingga kesnya selesai.

Peguam tertuduh kemudian memohon jaminan diturunkan kepada RM2,500 dengan alasan anak guamnya masih menuntut di tahun kedua jurusan Sains Sosial di Kuala Lumpur dan tiada pendapatan.

Hakim kemudian memerintah tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dengan dia perlu melapor diri di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur, setiap dua minggu sekali.

Sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 25 Mei depan.

TERTUDUH (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkmah Sesyen Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
TERTUDUH (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkmah Sesyen Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 12:42 PM