Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Dua penjawat awam dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana mengemukakan butiran sebut harga palsu bagi menuntut bayaran RM7,200 terhadap kursus yang tidak diadakan, enam tahun lalu.

Bagaimanapun, bekas Penolong Pegawai Tadbir dan Penolong Pegawai Latihan Vokasional ILP, Hafizah Ab Talib, 44, dan Penolong Pegawai Latihan Vokasional di institut itu, Azarudin Asrap, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Hafizah yang kini bertugas di Kementerian Pertahanan, didakwa memperdayakan prinsipalnya iaitu ILP dengan mengemukakan dokumen Kertas Kerja Bengkel Pemantapan Modal Insan ILP Tangkak Tahun 2016 dan Sebut Harga Perkhidmatan Kursus Pengurusan Organisasi Efektif mengandungi butiran palsu.

Sebut harga itu bagi mengadakan Kursus Pengurusan Organisasi Efektif atas nama Jati Selatan Services and Trading berjumlah RM7,200, sedangkan Kursus Pengurusan Organisasi Efektif itu tidak diadakan.

Azarudin pula didakwa bersubahat dengan Hafizah, atas kesalahan yang sama.

Hafizah didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 manakala Azarudin pula menerusi Seksyen Seksyen 28(1)(c) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap itu jika butir matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

TERTUDUH mengaku tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
TERTUDUH mengaku tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di ILP Tangkak, di Kilometer 43, Jalan Segamat, Tangkak antara November hingga Disember 2016.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin dengan Hafizah diwakili MJ Pereira manakala Azarudin tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu Ikhwan menawarkan kedua tertuduh jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, MJ Pereira yang mewakili Hafizah, memohon hakim mempertimbangkan mengurangkan wang jaminan memandangkan tertuduh mempunyai lima anak berusia empat hingga 17 tahun.

Sementara itu, Azarudin dalam rayuannya turut memohon wang jaminannya dikurangkan, memandangkan dia mempunyai tiga anak yang berusia antara tiga hingga sembilan tahun.

Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sementara pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes adalah pada 19 April ini untuk serahan dokumen dan memberi ruang bagi Azarudin untuk melantik peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 11:27 AM