GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan menggunakan pelbagai media sosial hasil serbuan di beberapa lokasi Selasa lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor.

Menurutnya, kejayaan serbuan berdasarkan hasil maklumat, risikan dan pemantauan dilakukan sejak beberapa bulan lalu.

"Sindiket ini adalah dalang di sebalik beberapa skim pelaburan disyaki palsu yang baru ditubuhkan dengan menawarkan kadar pulangan tinggi.

"Tawaran pelaburan dibuat melalui pelbagai medium di laman sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norsiah berkata, skim pelaburan ini dikenali Alpha Mineral Global, Asia Investmen VIP (AIV Trading) Max Profit Guides Empire (Max Profit) dan CGC Revolution and Management (CGC).

"Hasil serbuan itu, seramai 29 individu terdiri 19 lelaki dan 10 wanita berusia 24 hingga 38 tahun ditahan.

"Suspek direman antara sehari hingga empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, pelbagai peralatan membabitkan penipuan itu turut dirampas.

"Polis menjangkakan jumlah mangsa masih kecil kerana skim pelaburan ini baharu ditubuhkan.

"Mana-mana individu yang mungkin menjadi mangsa sindiket diminta tampil membuat laporan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 10:14 AM