ANTARA barangan yang dirampas. FOTO IHSAN POLIS
ANTARA barangan yang dirampas. FOTO IHSAN POLIS
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan yang bergerak atas nama skim pelaburan banker capital (BKC) dan skim pelaburan Wow Exchange OU susulan penahanan sembilan individu kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, penahanan enam lelaki dan tiga wanita berusia 23 hingga 62 tahun itu melalui Op Nuri 17/2021 di sekitar Kedah, Kuala Lumpur dan Johor.

Menurutnya, suspek disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud itu.

"Turut dirampas dalam serbuan dan operasi itu adalah 13 telefon bimbit, 11 kad ATM, satu kad kredit, tiga komputer riba, enam alat kawalan kereta, lima kereta, satu tablet, bag, dua dompet dan satu set profil syarikat pelaburan banker capital.

"Polis turut merampas set risalah pakej pelaburan banker capital, naskah majalah, set salinan transaksi bank, salinan gambar wang USD, dua buku simpanan bank dan lima fail mengandungi pelbagai dokumen syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas barangan lain termasuk wang tunai RM9,000, 208,000 Korean Won (RM761) , AS$26 (RM108) dan SGD644 (RM1,986).

"Sebanyak sembilan kertas siasatan dibuka berkaitan skim pelaburan ini membabitkan kerugian mencecah lebih RM1.89 juta.

"Siasatan mendapati, sindiket ini mensasarkan warga tempatan sebagai mangsa dan menggunakan dua modus operandi yang berbeza bagi memperdaya mangsa," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, bagi skim BKC, pihak sindiket mempromosikan pelaburan dengan kadar keuntungan antara 100 peratus hingga 400 peratus daripada jumlah modal dilaburkan.

"Pelabur diyakinkan bahawa wang pelaburan mereka akan dilaburkan oleh syarikat BKC ke dalam sektor pelaburan di dalam mahupun luar negara yang berpotensi menjana keuntungan tinggi.

"Beberapa pakej pelaburan ditawarkan bermula daripada pakej "trainee yang bernilai serendah AS$100 (RM414) hinggalah ke pakej "capitalist" yang bernilai AS$10,000 (RM41,470).

"Manakala bagi skim pelaburan "Wow Exchange OU", sindiket mendakwa ia adalah skim pelaburan berasaskan mata wang crypto," katanya.

Katanya, pihak sindiket mempromosikan platform mata wang crypto dan juga e-wallet yang dinamakan sebagai token wowx yang dikatakan berdaftar dan berpusat di Singapura melalui Syarikat Wow Global Pte Ltd serta dalam proses untuk mendapatkan lesen daripada kerajaan Singapura.

"Pelabur diarahkan untuk membuat bayaran modal pelaburan ke beberapa akaun bank yang diarahkan oleh sindiket namun akhirnya mangsa tidak memperolehi apa-apa pulangan daripada modal yang dikeluarkan untuk pelaburan ini.

"Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan jangan mudah percaya dengan iklan-iklan promosi pelaburan di media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Wechat dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

"Mereka turut dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 6:25 PM