BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang meninggal dunia, hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah.

"Ketokohan Allahyarham diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa dan menjadi tokoh ilmuwan yang cukup disegani.

"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai jasa dan bakti Allahyarham serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada negara," menurut hantaran di Faceboook Istana Negara, hari ini.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga beliau sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

Seri Paduka berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan para solihin.

Mohd Kamal, 80, meninggal dunia pada 2.27 pagi tadi, akibat komplikasi berkaitan prosedur pembedahan, baru-baru ini. Jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi.

Beliau yang dilahirkan pada 26 Oktober 1942 di Pasir Mas, Kelantan menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada 1965 sebelum menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Columbia University, New York pada 1975.

Allahyarham menjadi Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dari 1999 hingga 2006 selain turut berperanan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, sebuah lembaga ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

Mohd Kamal adalah antara cendekiawan yang dinobat sebagai Profesor Ulung atas sumbangan bakti dalam dunia akademik negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 12:41 PM