Wartawan NSTP

JAWATAN Presiden UMNO bakal direbut lima calon pada pemilihan parti itu hujung bulan ini.

Berdasarkan senarai akhir yang disiarkan di laman web UMNO Online, jumlah itu berkurangan berbanding tujuh calon yang sudah menghantar borang menawarkan diri bagi jawatan berkenaan sejak pendaftaran pencalonan dibuka 1 Jun lalu.

Lima calon yang disenaraikan itu ialah Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin dari UMNO Bahagian Iskandar Puteri.

Dua lagi yang sudah menghantar borang tetapi tidak disenaraikan ialah blogger, Rahmat Azim Abdul Aziz serta Ketua Konvoi Motosikal Ride for World #QuranHour dan Pengerusi Kelab Sukarelawan Hospital Kajang serta Yang Dipertua Melayu Islam Bersatu Malaysia, Rosilee Saat.

Bagi jawatan timbalan presiden, dua calon yang akan bertanding ialah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Anuar Musa.

Apa yang lebih menarik, pemilihan parti kali ini menyaksikan dua pemimpin tertinggi UMNO Rembau bertanding untuk dua jawatan tertinggi itu iaitu Khairy yang juga Timbalan Ketua Bahagian bagi jawatan presiden dan Mohamad selaku Ketua Bahagian merebut jawatan timbalan presiden.

Seramai tujuh calon pula bakal bertanding merebut tiga jawatan Naib Presiden manakala 106 calon bertanding bagi jawatan ahli Majlis Tertinggi.

Semua calon yang disenaraikan, melepasi proses saringan dalam pelbagai kaedah pada sudut kelayakan serta disemak di Jabatan Insolvensi terlebih dahulu.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Ibu Pejabat UMNO sudah membuat semakan terhadap semua calon yang menawarkan diri.

“Senarai calon bagi peringkat pusat sudah disemak oleh pihak insolvensi dan mencukupi syarat yang ditetapkan untuk bertanding,” katanya.

Senarai penuh calon boleh disemak dengan melayari http://www.umno-online.my/calonpemilihan2018/ manakala bagi senarai peringkat bahagian dirujuk di Badan Perhubungan UMNO negeri atau bahagian masing-masing.

Info

Pencalonan Pemilihan UMNO 2018

Jumlah keseluruhan pencalonan: 518

* MAJLIS TERTINGGI

- Pengerusi Tetap: 2

- Timbalan Pengerusi Tetap: 14

- Presiden: 5

- Timbalan Presiden: 2

- Naib Presiden: 7

- Ahli Jawatankuasa: 106

* PEMUDA

- Pengerusi Tetap: 2

- Timbalan Pengerusi Tetap: 3

- Ketua Pemuda: 9

- Naib Ketua: 9

- Ahli Jawatankuasa: 184

* WANITA

- Pengerusi Tetap: 2

- Timbalan Pengerusi Tetap: 4

- Ketua Wanita: 3

- Naib Ketua: 4

- Ahli Jawatankuasa: 81

* PUTERI

- Pengerusi Tetap: 2

- Timbalan Pengerusi Tetap: 1

- Ketua Puteri: 2

- Naib Ketua: 5

- Ahli Jawatankuasa Puteri: 71

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 10:04 PM