Ketua UMNO Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman tawar diri bertanding MKT UMNO. FOTO AMIR MAMAT
Ketua UMNO Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman tawar diri bertanding MKT UMNO. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Melaka: Bekas Bendahari Pemuda Umno, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman mengumumkan untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada pemilihan parti itu bermula bulan depan.

Ketua Umno Bahagian Kota Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas itu berkata, keputusan berkenaan dibuat sebagai usaha untuk membantu memperkasakan lagi parti selain memastikan Umno terus relevan terutama kepada generasi muda.

"Dengan penuh keinsafan dan berbekalkan pengalaman bermula sebagai Ketua Pemuda Umno Cawangan, Ketua Pemuda Umno Bahagian, EXCO Pemuda Umno serta Bendahari Pemuda Umno, saya dengan ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan MKT Umno pada pemilihan parti penggal ini.

"Atas semangat untuk terus menyumbang kepada parti, saya percaya dengan pengalaman yang ada akan dapat membantu menyerlahkan lagi Umno kepada masyarakat di negara ini sekali gus dapat bersama-sama pucuk kepemimpinan untuk memperkukuhkan lagi parti keramat ini," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Abdul Razak, 50 yang juga EXCO Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Melaka turut mengesahkan akan mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Melaka.

Beliau adalah satu-satunya pemimpin Umno Melaka setakat ini yang mengesahkan untuk bertanding jawatan MKT.

Sebelum ini beberapa nama yang dikatakan akan membuat pengumuman untuk bertanding beberapa jawatan tertinggi parti, termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Antara yang memberi bayangan termasuklah Ketua Pemuda Umno Jasin yang juga Adun Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh bagi jawatan Ketua Pemuda Umno, selain Ahli MKT Umno yang juga Adun Paya Rumput, Datuk Rais Yasin (Naib Ketua Pemuda) serta seorang lagi MKT Umno merangkap Adun Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar (Ketua Puteri Umno).

Umno mengadakan pemilihan parti bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac depan di semua peringkat bagi mematuhi pindaan Perlembagaan yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 2:35 PM