NAJIB ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB. FOTO Eizairi Shamsudin.
NAJIB ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB. FOTO Eizairi Shamsudin.
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan menetapkan 11 Ogos untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding mencabar keputusan Jabatan Penjara yang menolak permohonannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Peguam Persekutuan Ng Wee Li mengesahkan tarikh itu ketika dihubungi Bernama.

Prosiding pengurusan kes bagi rayuan itu dijalankan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norshakinah Ahmad Kamarudin.

Pada 27 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan permohonan Najib bersifat akademik susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 untuk membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berlangsung pada 19 November tahun lalu.

Hakim itu berkata, melainkan dan sehingga pengampunan diberikan kepada Najib atau sabitannya dibatalkan selepas semakan kehakiman, tiada kemungkinan beliau akan menjadi Ahli Parlimen semula.

Katanya, undang-undang melarang mana-mana orang yang sudah disabitkan daripada bertanding dalam pilihan raya.

Najib menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden dalam permohonan yang difailkan pada 5 Oktober tahun lalu.

Najib memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang tidak memberikan beliau akses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja Parlimen, perundangan dan konstituen.

Beliau sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda RM210 juta terhadapnya yang didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 7:23 PM