HANNAH Yeoh. FOTO Arkib NSTP.
HANNAH Yeoh. FOTO Arkib NSTP.
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Tiada rancangan untuk mewajibkan pembayaran elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri di sektor swasta, terutama kerana syarikat masih melalui pemulihan pasca Covid-19.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan, cadangan untuk mewajibkan pembayaran elaun berkenaan yang dinyatakan Menterinya, Hannah Yeoh, Rabu lalu bertujuan menggalakkan sektor swasta mencontohi langkah yang diambil kerajaan berkaitan latihan amali bergaji.

KBS berkata, pada sidang medianya di Parlimen itu, Hannah menyatakan yang perkara itu akan dibawa ke Kabinet, yang mana kebaikan dan keburukan mengenainya akan dibincangkan.

Ia bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menggesa kerajaan menguatkuasakan program latihan amali berbayar dalam sektor swasta seperti sektor kerajaan.

"Menteri Belia dan Sukan menjawab, dengan berkata "dasar sedia ada kerajaan tidak mewajibkan mana-mana syarikat swasta membayar elaun kepada pelajar di dalam program latihan industri."

"Bagaimanapun, kerajaan amat menggalakkan supaya syarikat swasta mencontohi sektor kerajaan untuk turut melaksanakan pembayaran elaun kepada pelajar yang sedang menjalani latihan industri.

"Beliau turut menyatakan yang pertimbangan untuk menguatkuasakan pemberian elaun latihan industri oleh pihak swasta perlu diteliti dari pelbagai aspek," katanya.

Kenyataan itu sebagai maklum balas kepada kenyataan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) bahawa cadangan untuk mewajibkan pembayaran elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri di sektor swasta akan membuatkan majikan dalam sektor itu merasa keberatan untuk menawarkan latihan kepada mereka.

Pada sidang medianya sebelum ini, Hannah berkata, cadangan mewajibkan pembayaran elaun kepada pelajar menjalani latihan industri di sektor swasta akan dibawa ke Kabinet untuk perbincangan.

Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia perlu berbincang mengenai kelebihan dan kekurangan dalam memperluaskan pelaksanaan cadangan itu kepada sektor swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 6:43 PM