GAMBAR hiasan. FOTO Bloomberg
GAMBAR hiasan. FOTO Bloomberg
Sri Ayu Kartika Amri

Cyberjaya: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjalani latihan industri di sektor swasta wajar menerima elaun setimpal daripada pihak majikan bagi menampung kelangsungan hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu mampu menaikkan motivasi pelajar untuk mempamerkan kualiti kerja yang baik serta menjadikan latihan industri medan mempraktikkan apa yang dipelajari di IPT.

Katanya, inisiatif itu akan meningkatkan reputasi pendidikan tinggi negara ini di persada nasional serta antarabangsa dalam konteks menjaga kebajikan pelajar dengan menghargai kemahiran serta pengetahuan yang ada pada golongan itu.

"Kualiti pelajar kita perlu diiktiraf oleh majikan kerana mereka (pelajar) layak untuk diberikan imbuhan bagi mengelakkan kejadian pelajar seolah-olah dijadikan buruh paksa ketika menjalani latihan praktikal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu pelajar IPT yang tidak menerima elaun setimpal ketika menjalani latihan industri di sebahagian syarikat di sektor swasta.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dilaporkan berkata, melalui Bajet 2022 sudah menggesa sektor swasta membayar sekurang-kurangnya RM900 sebulan kepada pelajar yang sedang menjalani latihan industri.

Dalam belanjawan sama, kerajaan bersetuju memberikan insentif kepada majikan yang menggaji perantis graduan berusia 18 tahun hingga 30 tahun sebanyak RM900 sebulan bagi tempoh enam bulan.

Kerajaan sudah mula membayar elaun RM900 sebulan kepada pelajar yang menjalani latihan industri di sektor awam.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, apabila imej pendidikan tinggi negara meningkat, secara tidak langsung menjadi tarikan pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian ke Malaysia.

"Apabila reputasi pendidikan tinggi negara pada tahap yang cemerlang, agenda Kementerian Pengajian Tinggi untuk menarik minat 250,000 pelajar asing ke negara ini menjelang tahun 2025 pasti dapat direalisasikan.

"Seterusnya hasrat menteri dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global juga akan tercapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 4:44 PM