Redzuan Muharam


MAJORITI responden pelayar maya bersetuju sekiranya kerajaan mewajibkan semua sektor membayar elaun kepada penuntut universiti yang mengikuti latihan praktikal.

Keputusan itu diperoleh hasil tinjauan pendapat dalam talian Facebook dan Twitter Harian Metro (HM) setakat jam 8 malam ini.

Tinjauan pendapat di Facebook Harian Metro mendapati seramai 9,900 responden menyertai undian dengan 88 peratus bersetuju manakala selebihnya tidak menyokong cadangan berkenaan.

Keputusan sama dilihat menerusi akaun Twitter Harian Metro dengan 92 peratus daripada 2,511 responden bersetuju dengan cadangan itu.

Undian berkenaan turut mendapat pelbagai reaksi berdasarkan maklum balas ditinggalkan di ruangan komen.

Pengikut Facebook, Noor Hasleena Othman berkata, bayaran elaun perlu kerana majikan mesti mengambil kira kos perbelanjaan ditanggung penuntut yang menjalani latihan praktikal.

“Wajib (bayar) sebab mereka pun buat juga kerja macam pekerja lain. Mereka juga perlu perbelanjaan pergi balik pejabat,” katanya.

Pengikut dikenali Fira Gujiwa bagaimanapun berkata, pendapat industri perlu diambil kira sebelum melaksanakan cadangan berkenaan bagi mengelak implikasi buruk di kemudian hari.

“Boleh je nak wajibkan tapi kena dengar juga pendapat sektor yang terbabit,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi satu video di Twitter menyatakan hasratnya untuk mengemukakan cadangan supaya penuntut institusi pengajian tinggi yang menjalani latihan praktikal menerima elaun.

Syed Saddiq berkata, cadangan itu penting berikutan terdapat ramai penuntut yang tidak menerima elaun daripada tempat latihan industri.

Beliau bercadang mengusulkan cadangan itu dalam sesi Kabinet khas bagi membincangkan isu berkaitan anak muda termasuk pemberian elaun berkenaan.

Setakat jam 8 malam, video berdurasi satu minit dua saat itu sudah meraih 706,000 tontonan, 19,800 ulang ciap dan 20,300 tanda suka oleh warganet.

Berita berkaitan

Cadang pelajar praktikal dibayar elaun [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 8:42 PM