Bisnes HM


Kuala Lumpur: Purata gaji dan upah bulanan pada tahun lalu susut sembilan peratus, penurunan kali pertama sejak ia direkodkan mulai 2010.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan Statistik Gaji & Upah Malaysia 2020, sepanjang 2020, pasaran buruh Malaysia mengalami momentum tidak menentu berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, krisis ini menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan di samping pembatalan atau pembekuan pengambilan baharu dan seterusnya mengakibatkan penurunan dalam jumlah guna tenaga.

"Selain itu, pelaksanaan langkah pengekangan penularan Covid-19 yang ketat dalam negara juga mengehadkan waktu operasi perniagaan dan menyebabkan berlakunya pengurangan waktu bekerja.

"Maka, nilai purata gaji dan upah bulanan yang diterima oleh warganegara Malaysia pada 2020 menurun buat kali pertama sejak data siri masa ini dilaporkan mulai tahun 2010 iaitu dengan kadar -9.0 peratus.

"Selepas dua tahun berturut-turut merekodkan purata melebihi RM3,000, purata gaji dan upah bulanan menurun kepada RM2,933 pada 2020," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mengikut aktiviti ekonomi, semua sektor merekodkan penurunan dalam nilai purata gaji dan upah bulanan namun terdapat tiga sektor yang mencatatkan penurunan dua angka.

Ia adalah sektor pertanian (-20.0 peratus), perlombongan dan pengkuarian (-17.7 peratus) dan pembinaan (-10.4 peratus), manakala sektor perkhidmatan dan pembuatan merekodkan pengurangan purata gaji dan upah bulanan masing-masing sebanyak 9.4 peratus dan 2.8 peratus.

"Sementara itu, antara industri dalam sektor perkhidmatan yang mempunyai bilangan penerima gaji dan upah yang ramai adalah industri perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal; serta penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman.

"Kedua-dua industri ini merekodkan penurunan dua angka dalam nilai purata gaji dan upah bulanan masing-masing sebanyak -14.9 peratus dan -13.7 peratus," katanya.

Katanya, nilai purata gaji dan upah bagi pekerja mahir adalah sebanyak RM4,619.

"Dalam kategori pekerjaan mahir ini, pengurus menerima purata gaji dan upah tertinggi iaitu sebanyak RM6,479 diikuti oleh profesional (RM5,301) serta juruteknik dan profesional bersekutu (RM3,313).

"Bagaimanapun, nilai purata yang diterima oleh pengurus mencatatkan penurunan terbesar berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, nilai purata bagi pekerja separuh mahir adalah sebanyak RM2,007.

"Dalam kategori ini, dapat dilihat bahawa purata gaji dan upah yang diterima oleh pekerja sokongan perkeranian adalah sebanyak RM2,370," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 2:51 PM