FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia berkembang 3.9 peratus pada suku tahun pertama 2024 berbanding 3.0 peratus pada suku tahun

sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bank Negara Malaysia (BNM) bulan lalu mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara 4.0 dan 5.0 peratus pada 2024, disokong oleh permintaan dalam negeri yang terus berkembang dan peningkatan permintaan luaran.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan anggaran awal terbabit, prestasi ekonomi pada tiga bulan pertama dipacu oleh sektor perkhidmatan dengan semua sektor utama mengalami pertumbuhan positif.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 4.4 peratus berbanding suku keempat 2023 pada 4.2 peratus, disokong oleh subsektor perdagangan borong & runcit, pengangkutan & penyimpanan serta perkhidmatan perniagaan.

Katanya, sektor pembuatan pula mencatatkan pemulihan kepada 1.9 peratus pada suku pertama ini selepas merekodkan penyusutan 0.3 peratus pada suku keempat 2023.

"Pertumbuhan sektor itu disokong oleh pembuatan produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka; peralatan pengangkutan, pembuatan lain & pembaikan; serta roduk petroleum, kimia, getah & plastik," katanya dalam satu kenyataan anggaran awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku pertama 2024 yang diterbitkan oleh DOSM, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, sektor perlombongan dan pengkuarian pula berkembang sebanyak 4.9 peratus berbanding 3.8 peratus suku sebelumnya, pertumbuhan yang didorong oleh peningkatan dalam semua aktiviti, dengan subsektor gas asli menjadi penyumbang utama.

"Sektor pertanian turut meningkat 1.3 peratus pada suku dikaji disumbangkan oleh pengeluaran kelapa sawit dan ternakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 2:13 PM