GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Produktiviti buruh bagi setiap pekerja Malaysia bertambah baik apabila mencatat penurunan marginal 0.4 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding penguncupan 2.9 peratus pada suku sebelumnya.

 Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada suku dikaji menguncup 0.5 peratus manakala pekerja berkurang 0.04 peratus kepada 15.2 juta orang berbanding 0.6 peratus pada suku sebelumnya.

 Katanya, nilai ditambah bagi setiap pekerja pada suku pertama 2021 adalah sebanyak RM22,516, berbanding suku keempat tahun lalu dengan RM23,604 setiap pekerja.

 "Produktiviti buruh bagi setiap pekerja Malaysia mencatatkan kejatuhan paling kecil sejak produktiviti buruh negara mula menyusut pada suku pertama tahun lalu," katanya dalam laporan Produktiviti Buruh suku pertama.

 Mengulas mengenai prestasi produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah bagi setiap jam bekerja, Mohd Uzir berkata, keadaan ekonomi masih dipengaruhi dengan usaha mengekang Covid-19 menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus menyaksikan jumlah jam bekerja terus berkurang sebanyak 0.9 peratus kepada 8.5 bilion jam bekerja.

 Katanya, produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pulih 0.4 peratus dengan nilai RM40.2 setiap jam, lebih baik berbanding suku pertama 2020 iaitu RM40 setiap jam.

 "Pertumbuhan positif bagi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini berikutan penurunan yang lebih besar dalam jumlah jam bekerja berbanding penguncupan marginal nilai ditambah," katanya.

KETUA Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
KETUA Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

 Mengikut sektor ekonomi, pembuatan terus mencatatkan peningkatan produktiviti buru setiap pekerja bagi tempoh tiga suku tahun berturut-turut, meningkat 5.9 peratus daripada 3.2 peratus pada suku keempat 2020.

Pada suku ini, tiga subsektor pembuatan merekodkan pertumbuhan dua angka iaitu minuman & produk tembakau (15.6 peratus), produk elektrik, elektronik & optikal (10.6 peratus) dan peralatan pengangkutan, pembuatan lain & pembaikan (10.3 peratus).

 Produktiviti buruh bagi sektor pertanian pula pulih kepada 1.6 peratus daripada negatif 0.7 peratus pada suku sebelumnya, sementara produktiviti buruh kekal menurun bagi sektor lain iaitu perkhidmatan (-2.6 peratus), perlombongan & pengkuarian (-3.7 peratus) dan pembinaan (-8.2 peratus).

 Mohd Uzir berkata, kesan pandemik Covid-19 mendorong adaptasi teknologi digital yang terbukti mampu menjadi penyelesaian praktikal.

 Katanya, ketika tempoh PKP, aktiviti ekonomi beralih kepada platform digital di mana pada masa kini, bekerja dari rumah, menghadiri kelas secara jarak jauh dan membeli-belah dalam talian sudah menjadi norma.

 "Krisis kesihatan juga mengubah operasi perniagaan dan seterusnya mendorong pengusaha untuk menyusun semula strategi perniagaan mereka.

 "Berikutan itu, perniagaan perlu mempertimbangkan untuk mempercepatkan adaptasi pendigitalan dalam usaha meningkatkan daya tahan di samping mengoptimumkan proses perniagaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  •  

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 6:50 AM