Oleh Noorazura Abdul Rahman


Sik: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin Perikatan Nasional (PN) tidak sukar untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah hari ini.

Katanya, gerak hatinya sangat yakin beliau sendiri akan turut menang berdasarkan gelombang PN di Kedah yang bertambah kuat berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

"Saya tak gemuruh (atau) gementar hari ini, biasanya kalau tengok suasana berdebar-debar mungkin kalah... kita pantau bukan hari ini sahaja (hari undi) malah sejak dua tiga hari yang lepas gelombang sambutan amat baik dan saya harap ia diterjemah ke kertas undi.

"Jadi saya nampak harapan cerah daripada perkembangan gelombang sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baharu Beris Jaya di sini hari ini.

Beliau yang tiba pada jam 11 pagi ditemani isterinya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh.

Ditanya mengenai potensi PN secara keseluruhan di enam-enam negeri yang berdepan PRN, Sanusi berkata akan wujud beberapa tokoh besar yang tumbang.

"Seluruh negeri yang menghadapi PRN15 saya nampak gelombang PN itu besar dan akan ada beberapa 'upset' di beberapa negeri.

"Setidak-tidaknya di beberapa DUN, tokoh-tokoh besar PH-BN akan tumbang dan beberapa calon 'underdog' PN akan menang kita tunggulah malam ini," katanya.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, walaupun tidak berlaku perubahan menyeluruh di enam negeri, namun kejutan akan berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Ketika ditanya adakah beliau akan dilantik menjadi Menteri Besar sekiranya PN menang malam ini, beliau berkata perkara itu adalah satu proses yang berlainan yang akan diputuskan kelak.

Muhammad Sanusi turut menyeru orang ramai supaya keluar seramai mungkin untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

PRN 15 DUN Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan penyandangnya daripada PN, Muhammad Sanusi dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

Muhammad Sanusi memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandang BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.

DUN Jeneri mempunyai 35,079 pengundi yang layak dengan lebih 90 peratus daripada pengundi adalah Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 1:38 PM
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah. FOTO L.MANIMARAN
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah. FOTO L.MANIMARAN