Oleh Mohamed Farid Noh


Pasir Gudang: Penduduk Taman Tanjung Puteri Resort di sini, mendakwa bau kuat dipercayai pencemaran bahan kimia yang berlarutan sepanjang tiga hari mulai hilang sejak petang semalam.

Tinjauan dilakukan di anak Sungai Jalan Seluang di taman perumahan berkenaan mendapati, tompokan hitam kecil yang mulai pudar terdapat pada permukaan tanah di situ.

Bau bahan yang didakwa bahan kimia itu juga masih dapat dihidu namun ia tidak sekuat ketika kejadian berkenaan dilaporkan berlaku, Isnin lalu.

Bagaimanapun, penduduk mulai dihantui kerisauan jika insiden pencemaran itu berulang semula sekali gus mengingatkan mereka kembali terhadap tragedi buangan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Penduduk Taman Tanjung Puteri Resort, Adam Mohd Shah, 65, berkata, insiden pencemaran bau itu mengingatkannya kembali kepada tragedi Sungai Kim Kim.

"Dulu sebelum tragedi Sungai Kim Kim, begini juga. Insiden pencemaran bau kerap berlaku tetapi tidak berlarutan lama.

"Namun bau pencemaran kali ini tidak sekuat pencemaran Sungai Kim Kim yang sangat menyesakkan pernafasan.

"Bagaimanapun, kami risau jika kejadian sebegini tidak dibendung segera, ia akan mengakibatkan tragedi Sungai Kim Kim berulang sehingga menyebabkan ramai penduduk terjejas," katanya ketika ditemui.

Semalam, Harian Metro melaporkan, pencemaran bau yang berlaku sejak Isnin lalu di Jalan Seluang, Taman Tanjung Puteri Resort, menyebabkan penduduk bimbang tragedi Sungai Kim Kim pada 2019, berulang.

Penduduk dilaporkan mengadu sakit hidung sehingga mengakibatkan mata pedih dan tekak kering dengan ada penduduk loya selain pening kepala.

JAS Johor kemudian dilaporkan mengambil sampel air longkang awam di situ bagi mengenal pasti punca pencemaran bau terbabit.

Seorang lagi penduduk, Naji Hurairah, 42, berkata, dia sekeluarga turut dilanda kebimbangan berikutan pencemaran bau terbabit.

"Saya terbau bau kuat seakan bau kimia serta asid yang menyakitkan saluran pernafasan sejak Isnin lalu. Ia berikutan, saya sering membuka tingkap ketika memandu.

"Kerana risaukan keselamatan anak yang masih kecil, saya membawa keluarga ke rumah saudara di Johor Bahru buat seketika.

"Bau pencemaran ini semakin hilang namun ada kalanya, bau kuat seperti Isnin lalu kembali sekali gus menyebabkan penduduk dilanda kebimbangan," katanya.

Adam mnenunjukkan lokasi insiden pencemaran bau di Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Adam mnenunjukkan lokasi insiden pencemaran bau di Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 2:50 PM