MURID SK Tanjung Puteri Resort dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih.
MURID SK Tanjung Puteri Resort dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih.
Mohd Sabran Md SaniIzlaily Nurul Ain Hussein dan Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik


“KEJADIAN berlaku sebelum waktu rehat apabila empat murid tiba-tiba mengalami sesak nafas, loya dan muntah,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, Mohd Asri Abdul Kadir.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, empat murid sekolah berkenaan terpaksa dikejarkan ke bilik rawatan sekolah selepas mengalami simptom keracunan dipercayai terhidu gas kimia dari Sungai Kim Kim di sini.

Difahamkan SK Tanjung Puteri Resort terletak kira-kira tiga kilometer dari Sekolah Menengah Pasir Putih dan 3.2 kilometer dari Sungai Kim Kim.

Mohd Asri berkata, gelombang ketiga pencemaran itu dihadapi seramai 857 murid sekolah apabila terhidu bau pencemaran akibat dibawa angin kuat pagi semalam.

“Pagi tadi (semalam), sesi pembejalaran berjalan seperti biasa dan tiada tanda murid terhidu gas kimia sejak kejadian itu berlaku enam hari lalu, murid dan pengurusan sekolah tidak berdepan sebarang masalah kesihatan.

“Bagaimanapun keadaan cemas bermula 9.45 pagi apabila empat murid loya, muntah dan pening,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, semalam.

Menurutnya, dia terpaksa mengambil langkah utama dan mengarahkan semua murid berkumpul di kawasan lapang bagi memastikan keselamatan terjamin sejurus selepas empat murid mendapatkan rawatan.

“Saya arahkan semua murid dan pengurusan sekolah termasuk guru turun di dataran perhimpunan bagi memudahkan tindakan susulan dilakukan.

“Tidak lama kemudian bilangan murid yang mengalami tanda pening, loya dan muntah bertambah sebelum dikejarkanke Dewan Komuniti Taman Pasir Putih di sini, untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, murid sekolah itu silih berganti dikejarkan ke dewan dengan menaiki ambulans bermula jam 10 pagi hingga 11.30 pagi bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Pada masa sama, pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) datang untuk melihat kualiti udara, namun tahap bacaan sifar, selain mengesahkan ia berpunca daripada angin.

“Anggota balai bomba dan penyelamat mengarahkan penutupan sekolah dan mengarahkan kakitangan dan murid pulang ke rumah pada 11.15 pagi,” katanya.

Menurutnya, sekolah itu kemudian dikosongkan, selain guru-guru turut menghantar murid orang Asli dari Teluk Kabung pulang ke rumah pada 12 tengah hari.

Sementara itu, tinjauan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih mendapati petugas kesihatan membantu memberikan rawatan kepada kira-kira 100 murid sekolah terbabit.

Murid yang mengalami tanda sesak nafas dan muntah diberikan rawatan termasuk diberikan alat bantuan pernafasan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Situasi menjadi agak kelam kabut apabila ibu bapa turut hadir melihat keadaan anak masing-masing yang dirawat di dewan itu.

PEGAWAI perubatan  memberi bantuan kepada murid yang mengalami  simptom keracunan di SK Tanjung Puteri Resort.
PEGAWAI perubatan memberi bantuan kepada murid yang mengalami simptom keracunan di SK Tanjung Puteri Resort.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 10:52 AM