BELUM selesai kes pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang akibat pembuangan sisa toksik haram sejak 7 Mac lalu, penduduk Taman Tanjung Puteri Resort, gempar apabila menemui beberapa tong biru dipercayai sisa bahan kimia di Sungai Sembilang kira-kira dua kilometer dari Sungai Kim Kim.
Ia ditemui kira-kira 500 meter dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, sekolah ketiga terdedah pencemaran pada gelombang kedua, Isnin minggu lalu.
Penduduk mendakwa, tong biru ditemui pencari ayam 14 Mac lalu dan mengeluarkan bau seakan cuka sebelum melaporkannya kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut.
Insiden terbaru itu mencetuskan kebimbangan penduduk kawasan terbabit kerana khuatir ia mengandungi bahan kimia malah penduduk masih trauma dengan insiden yang berlaku di Sungai Kim Kim.
Tong biru itu dibuang di bawah jambatan di kawasan menghubungkan Taman Pasir Putih selain Sungai Sembilang namun tidak dapat dipastikan sumbernya.
Penduduk, Ahmad Roh Ariffin berkata, kehadiran tong biru dipercayai sisa toksik itu menyebabkan penduduk kurang selesa dan bimbang.
“Penemuan tong ini mencemaskan penduduk kerana insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim belum selesai.
“Penemuan baru di lokasi ini dilaporkan pencari ayam yang menemui longgokan tong biru di bawah jambatan itu,” katanya.
SMK Tanjung Puteri Resort antara 111 sekolah yang diarah ditutup sementara sehingga cuti sekolah ini.
Ahmad Roh berkata, kandungan tong dipercayai sisa toksik itu sudah mengalir ke dalam Sungai Sembilang menyebabkan bau tidak menyenangkan.
“Kehadiran tong biru itu disedari penduduk sejak Khamis lalu.
“Penduduk bimbang kerana bahan yang dibuang itu menghasilkan bau busuk seperti cuka malah ada mengadu sesak nafas dan loya,” katanya.
Dua anggota polis dilihat menutup kawasan berkenaan dengan garisan kuning polis dan tidak membenarkan media serta orang ramai mendekati kawasan berkenaan.