MOHAMAD Sabu ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Kilang Milagro di Krubong. FOTO Amir Mamat
MOHAMAD Sabu ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Kilang Milagro di Krubong. FOTO Amir Mamat
BERNAMA

Melaka: Penubuhan Lembaga Unggas Negara yang disuarakan beberapa pihak sebelum ini bagi memastikan ekosistem industri ternakan negara berfungsi dengan lebih jelas dan berkesan masih di peringkat perbincangan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan sedang meneruskan perbincangan mengenai perkara berkenaan dan belum mempunyai keputusan mengenainya.

"Itu (penubuhan Lembaga Unggas Negara) di peringkat perbincangan, kita akan teruskan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Kilang Milagro di Krubong, di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan sumber penternak ayam telur dipetik sebagai berkata, antara mekanisme yang perlu diperhalusi untuk membantu industri ternakan unggas adalah menerusi penubuhan lembaga berkenaan selain melantik syarikat milik kerajaan untuk terlibat 100 peratus menghasilkan anak ayam 'day-old-chick' atau anak ayam sehari serta makanan dedak ayam.

Mohamad berkata, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM1.8 bilion subsidi bagi menstabilkan harga ayam dan telur.

Katanya, apa yang paling penting ketika ini adalah memastikan bekalan kedua-dua barangan itu kekal berada dalam pasaran.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang berusaha menurunkan harga sayur di beberapa kawasan yang dikatakan mengalami kenaikan harga.

Beliau berkata, perkara itu berlaku berikutan banjir baru-baru ini yang menjejaskan bekalan sayur-sayuran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 3:44 PM