MD Amin menyampaikan syarahan Aspirasi Naib Canselor di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah. FOTO Ihsan UPSI
MD Amin menyampaikan syarahan Aspirasi Naib Canselor di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah. FOTO Ihsan UPSI
Ihsan Noorzali

Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menekankan aspek amalan Konsep 5K iaitu Kekeluargaan, Kasih Sayang, Keseronokan, Kreativiti dan Kesegeraan bagi melonjakkan kecemerlangan pada masa hadapan universiti pendidikan ulung negara itu.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Aspirasi Naib Canselor 2023 bertemakan 'Pemacu Keunggulan Pendidikan' yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor di sini.

Syarahan yang disaksikan oleh lebih 4,000 yang terdiri daripada kakitangan dan mahasiswa UPSI itu turut memberi penekanan terhadap amalan Akademik, Adab, Akhlak (3A) dalam melahirkan graduan yang holistik dan hebat.

Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) digerakkan untuk menganjur Program Bina Insan Bitarabagi membentuk ciri-ciri mahasiswa yang holistik.

Md Amin merancang melaksanakan pelbagai termasuklah program Malaysia Juara bagi mengharumkan nama Malaysia; Pusat Pendidikan Teknologi Hijau di Kolej Zaaba ; Bas Pendidikan untuk menjayakan aktiviti bersama masyarakat, manakala UPSI ResQ Team akan membawa pakar-pakar UPSI untuk menjalankan kajian di kawasan banjir.

Menurutnya, pihaknya akan terus berusaha melakar kecemerlangan pendidikan dengan melaksanakan Pelan Pendigitalan Pendidikan digerakkan oleh fakulti yang baru ditubuhkan iaitu Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi (FKMT) diterajui dekan baharunya, Prof Madya Dr Maizatul Hayati Mohd Yatim.

Beliau berkata, perubahan teknologi IR5.0 akan diimarahkan selain berusaha meraih akreditasi antarabangsa serta menggiatkan lagi program mobiliti antarabangsa.

"Saya juga berharap akademia UPSI menerapkan Kurikulum Berteraskan Realiti Kehidupan dalam pengajaran untuk memberi kesan terhadap pembelajaran di dalam bilik kuliah, "katanya.

Program 'Pelita Budiman' dengan menawarkan program pengajian Diploma Keusahawanan untuk pesalah juvenil akan dilaksanakan menerusi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) dan selain mengadakan usaha sama dengan Proton, Perodua serta Luncai Emas.

Menurutnya, UPSI akan memperkenalkan Global Teachers Award untuk mengiktiraf guru-guru di dunia yang hebat menjelang Oktober ini.

Beliau berkata, UPSI juga bercadang menubuhkan Badan Pemikir Pendidikan Negara yang akan membantu negara memperkasakan sektor pendidikan selain menjemput Profesor Antarabangsa Terulung Pendidikan, Howard Gardner yang mencetuskan Teori Multiple Intelligence.

"Kampus Teluk Intan juga akan diteruskan agar dapat digunakan pada 2026 selain tambahan kapasiti kolej dari 7,452 kepada 14, 508 penghuni," katanya.

Md Amin turut melahirkan perasaan bangganya atas inisiatif Fakulti Bahasa dan Komunikasi yang membuka Pusat Pengajian Luar Negara di United Emiriah Arab Bersatu (UAE), China, Bangladesh, Russia, Uzbekistan serta United Kingdom.

"Bagi memeriahkan suasana kampus, UPSI akan membuka Pusat Boling dan lapang sasar golf pada Jun nanti serta mewujudkan Cabin@Ujana untuk pengunjung menginap sambil menikmati suasana alam semula jadi di Tanjung Malim dan mewujudkan Rooftop Cafe di Scholars Suites untuk menikmati pemandangan indah Banjaran Titiwangsa, Tasik Rekreasi Banjaran yang mempunyai restoran terapung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 4:48 PM