Kos makan dalam kampus lagi berbaloi.
Kos makan dalam kampus lagi berbaloi.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga barangan termasuk makanan turut membebankan penuntut universiti terutama di ibu kota dan bandar besar apabila terpaksa mengeluarkan lebih perbelanjaan.

Penuntut sebuah universiti di Lembah Klang, Putra Ahmad Ikhwan Ahmad Faudzi, 23, berkata dia berasa terbeban dengan harga makanan di luar kampus lebih mahal antara RM2 hingga RM3 berbanding dalam kampus.

Menurutnya, biarpun masih bergelar penuntut, mereka juga bergelut dengan isu kenaikan harga barang biarpun kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan dan biasiswa bagi menampung beban.

"Sangat terbeban dengan kos sara hidup ketika ini, lebih-lebih lagi yang belajar di Lembah Klang. Saya sendiri peruntuk RM20 untuk belanja harian. Sepinggan nasi ayam berharga RM7 hingga RM8 satu set di luar, tetapi dalam kampus hanya RM5 saja untuk harga pelajar.

"Ada juga di kalangan kami yang mempunyai tanggungan lain seperti bayaran sewa rumah, bil api dan air selain yuran hingga ada pelajar terpaksa mengikat perut bagi memudahkan mereka menyusun kewangan mengikut keadaan diperlukan.

"Ada rakan saya yang belajar di ibu kota beritahu makanan di sana lebih mahal tetapi biasanya saiz hidangan juga lebih besar," katanya.

Mahasiswa sebuah universiti di Pulau Pinang, Muhammad Firas Shamsulazhar, 20, berkata peningkatan kos sara hidup ketika ini menyebabkan ada penuntut terpaksa mencatu makanan mereka supaya dapat mengawal perbelanjaan.

Katanya, ada juga yang mengambil inisiatif membawa barang kering dan memasak sendiri untuk menjimatkan kos harian.

"Tidak dinafikan saya juga rasa terbeban ditambah lagi kami memerlukan duit lebih untuk cetak tugasan dan membeli keperluan tugasan lain dan belanja harian saya RM15 sehari.

"Biasanya sepinggan nasi bersama ayam goreng dan sayur di sini dalam RM4 hingga RM5 bergantung kepada lauk diambil dan itu jauh lebih murah berbanding makan di luar yang cecah RM7 hingga RM8," katanya.

Bagi penuntut sebuah universiti di Johor Bahru, Muhammad Adam Mohd Zainudin, 21, dia perlu menyesuaikan diri dan bijak dalam berbelanja kerana kos sara hidup lebih tinggi jika dibandingkan dengan negeri asalnya.

"Harga makanan memang mahal dan sehari saya belanja lebih RM20, tetapi bernasib baik ibu bapa faham dengan situasi saya di sini. Tetapi setakat ini makanan dalam kampus untuk nasi, ayam goreng dan sayur biasanya RM5 saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 3:34 PM