PASUKAN SMART mempersiapkan barangan untuk dibawa dalam misi bantuan ke Turkiye. FOTO Ihsan SMART.
PASUKAN SMART mempersiapkan barangan untuk dibawa dalam misi bantuan ke Turkiye. FOTO Ihsan SMART.
Amir Abd Hamid

Petaling Jaya: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dihantar ke Turkiye malam ini adalah bantuan amat bermakna buat negara itu yang terbabit gempa bumi awal pagi tadi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, bantuan itu juga diberikan selepas pihaknya menerima permohonan dari kerajaan Turkiye.

"Ada permohonan dari Turkiye selepas negara mereka ditimpa musibah, berikutan itu saya sudah arahkan menteri berkaitan untuk segera siapkan pasukan dan dikirimkan dalam tempoh segera.

"Pasukan SMART adalah kumpulan terlatih untuk kendalikan kes seperti tanah runtuh serta gempa bumi.

"Walaupun kekuatan (pihak berkuasa) Turkiye ada, tetapi sebagai negara sahabat yang rapat dengan negara itu, bantuan yang kita berikan ini sangat bermakna kepada mereka," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataannya berkata, Malaysia menghantar seramai 75 anggota SMART bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 1,200 orang terbunuh manakala ribuan lagi cedera selepas gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye pada 4.17 pagi tadi waku tempatan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 9:06 PM