PENERIMA permohonan rumah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Mohammed Fariz Asnawi (empat, kanan) menerima kunci dan dokumen rumah miliknya di Kampung Parit Banyumas, Parit Ya’ani. FOTO BERNAMA
PENERIMA permohonan rumah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Mohammed Fariz Asnawi (empat, kanan) menerima kunci dan dokumen rumah miliknya di Kampung Parit Banyumas, Parit Ya’ani. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Batu Pahat: Selepas lapan tahun penantian, akhirnya 'impian' dua keluarga di Parit Ya'ani untuk memiliki rumah sendiri tertunai, apabila rumah yang dibina melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), siap dan boleh diduduki.

Mohd Hizam Jamien, 40, berkata beliau memohon untuk pembinaan rumah bernilai RM75,000 pada tahun 2015, namun tertangguh beberapa kali, termasuk akibat pandemik Covid-19, beberapa tahun lalu.

Katanya pembinaan rumah berkenaan mula tertangguh tanpa sebab pada tahun 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), menyebabkan beliau bersama isteri dan dua anaknya mulai bimbang.

"Bagaimanapun apabila kerajaan diterajui Perdana Menteri ke sembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, permohonan semula dilakukan dan dimajukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Ya'ani, Datuk Mohamad Najib Samuri.

"Berikutan daripada aduan kepada beliau, pembinaan diteruskan semula dan akhirnya rumah siap untuk diduduki pada hari ini," katanya kepada pemberita selepas menerima kunci rumah yang diserahkan Adun Parit Ya'ani, hari ini.

Mohd Hizam berkata beliau yang mencari rezeki dengan berkebun terpaksa menyewa rumah untuk mereka sekeluarga selama 20 tahun dengan bayaran sewa RM200 sebulan.

Nasib yang sama turut dialami pasangan suami isteri, Mohammed Fariz Asnawi, 42, dan isterinya Siti Luhainon Mohd Tahir, 45, yang tinggal di Kampung Parit Banyumas.

Menurut Mohammed Fariz, beliau menyewa rumah selama 15 tahun dengan bayaran RM150 sebulan, membuatkan mereka tekad untuk memohon kemudahan disediakan kerajaan pada tahun 2015.

"Dengan tanah seluas kira-kira satu ekar milik isteri, kami mencuba nasib dan amat berterima selepas diterima untuk pembangunan rumah bernilai RM75,000 ini.

"Penantian selama lapan tahun cukup menyeksakan bagi kami, malah hampir tidak dibina akibat daripada birokrasi pemaju pada tahun 2018 hingga 2020 sebelum digerakkan semula selepas itu," katanya.

Sementara itu, Najib berkata masih ramai lagi penduduk di sini yang ingin mengemukakan permohonan rumah sama, dan bagi yang berminat, mereka boleh menghantar borang permohonan ke pejabatnya di Parit Raja bersama dokumen diperlukan untuk dimajukan kepada SPNB.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 5:17 PM