HISHAMMUDDIN Hussein. FOTO arkib NSTP
HISHAMMUDDIN Hussein. FOTO arkib NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


MENJELANG pembentangan Belanjawan 2019 esok, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneruskan projek pembinaan Rumah Mesra Generasi Baru FELDA (RMGBF) di seluruh negara.

Menurutnya, pembinaan rumah berkenaan dirancang kerajaan Barisan Nasional dalam usaha memastikan generasi baru FELDA dapat memiliki kediaman sendiri.

Ahli Parlimen Semberong itu berkata, dalam pembentangan Belanjawan 2018, kerajaan mengumumkan pembinaan 5,000 unit RMGBF termasuk di enam FELDA di kawasan Parlimennya.

"Demi rakyat #SembrongKita, saya berharap pembinaan 5,000 unit RMGBF yang diumumkan tahun lalu diteruskan dalam #Bajet2019.

"550 unit sudah diluluskan bagi enam perancangan Felda @SembrongP153," katanya menerusi catatan terbaru di Twitter rasminya, hari ini.

Hishammuddin berkata, beliau berharap perubahan kerajaan tidak menjadi punca projek perumahan itu dibatalkan.

"Jangan disebabkan bertukar kerajaan, nasib dan kebajikan rakyat digadaikan," katanya.

Tahun lalu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dilapor berkata, kerajaan bekerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membina 5,000 RMGBF di seluruh negara membabitkan peruntukan RM164 juta.

Harga jualan RMGBF di Semenanjung RM75,000 seunit dengan RM20,000 daripadanya subsidi kerajaan melalui SPNB, selain cadangan bayaran bulanan RM349 dalam 25 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 10:42 PM