Mohamad Najib (kanan) puas hati dengan kemenangan dan dapat kembali merampas Dun Parit Yaani daripada PH. FOTO IHSAN FB MOHAMAD NAJIB SAMURI
Mohamad Najib (kanan) puas hati dengan kemenangan dan dapat kembali merampas Dun Parit Yaani daripada PH. FOTO IHSAN FB MOHAMAD NAJIB SAMURI
Omar Ahmad dan Essa Abu Yamin

Batu Pahat: "Ini hadiah, penghargaan kepada seluruh penduduk Parit Yaani selepas dua penggal tanpa pembangunan," kata Datuk Mohamad Najib Samuri, calon Barisan Nasional (BN) yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Parit Yaani.

Mohamad Najib yang memperoleh 9,070 undi menang dengan majoriti tipis, 294 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.

Menurutnya dia bersyukur dapat menghadiahkan parti dengan kemenangan itu dan merampas kembali Parit Yaani selepas dua penggal dikuasai PH.

Katanya, ketika di bawah pakatan pembangkang itu, pembangunan di Parit Yaani agak ketinggalan berbanding Dun Parit Raja, kedua-duanya di dalam Parlimen Sri Gading.

"Untuk peringkat awal ini kita akan terus membangunkan pangkalan data untuk merekodkan segala maklumat dan rujukan bagi menyalurkan bantuan yang sepatutnya secepat mungkin kepada masyarakat Parit Yaani," katanya.

Sementara itu, Aminolhuda berpuas hati atas perkhidmatan dicurahkannya sepanjang dua penggal menjadi wakil rakyat di Dun itu.

Katanya, kepimpinan bukan jawatan yang boleh dibanggakan atau tempat mencari rezeki peribadi, sebaliknya satu amanah yang dipertanggungjawabkan di dunia dan di akhirat.

"Umpama seorang ayah atau ibu yang dipertanggungjawabkan atas segala keperluan anak dan keluarganya.

"Alhamdulillah saya terlepas daripada tanggungjawab dan amanah besar ini dan saya bersyukur kerana dalam tempoh hampir 10 tahun sebagai Adun Parit Yaani, saya sangat berpuas hati dengan apa yang telah saya lakukan kepada rakyat dalam kawasan saya," katanya menerusi hantaran di Facebook Parti Amanah Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 2:48 PM