RAZALI
RAZALI
Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Generasi baru FELDA boleh memiliki rumah sendiri tidak lama lagi apabila kerajaan bekerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membina 5,000 Rumah Mesra Generasi Baru FELDA (RMGBF) di seluruh negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata, harga jualan RMGBF di Semenanjung RM75,000 seunit dengan RM20,000 daripadanya subsidi kerajaan melalui SPNB.

“Harga sebenar untuk seunit RM55,000. Cadangan bayaran bulanan RM349 sebulan dalam 25 tahun.

“Ia akan dilaksanakan berperingkat dan sebagai permulaan 5,000 unit rumah dibina sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2018 lalu dengan peruntukan RM164 juta,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang bertanyakan adakah program pemberian lot tapak rumah kepada generasi baru FELDA akan dilaksanakan.

Menurutnya, generasi baru FELDA yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau dokumen penyata gaji boleh memohon RMGBF kerana FELDA dan SPNB memberi kelonggaran khas kepada mereka.

Beliau berkata, Mesyuarat Lembaga FELDA 20 Mac lalu bersetuju mengenai dasar pemberi milikan tanah kosong kepada generasi baru FELDA dalam pegangan bandar seperti diperuntukkan dalam Seksyen 6 Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1990.

“Dengan pelaksanaan dasar ini, tapak projek Perumahan Generasi Baru FELDA (PGBF) yang belum dilaksanakan di seluruh negara akan ditukar kepada Dasar Pemberi Milikan Lot Kosong kepada generasi baru FELDA.

“Rumah yang bakal dibina di lot kosong ini dibangunkan SPNB,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 4:18 AM