Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: "Saya tidak sangka nyawa cucu berakhir di kawasan sering dikunjunginya," kata Abd Rahman Mamat, datuk kepada Muhammad Syafiq Abdullah, yang ditemukan lemas di dalam paya di Marang, hari ini.

Mayat anak bongsu daripada dua beradik itu ditemukan dalam keadaan terapung pada 8 pagi hari ini di dalam paya di Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga, Marang.

Abd Rahman, 63, berkata, dia yang berada di rumahnya di Kuala Ibai, di sini menerima panggilan daripada anaknya pada 10.30 malam tadi memaklumkan mangsa yang berusia enam tahun itu tidak pulang ke rumah.

"Saya bergegas ke rumah anak dan sebaik sampai, penduduk kampung sedang mencari mangsa dan dia masih belum ditemui sehingga 4 pagi tadi.

"Pagi tadi, mayat mangsa ditemui di kawasan paya berkenaan sedangkan sebelum ini kita ada cari di kawasan itu, tetapi tak jumpa.

"Cucu sering bermain di kawasan itu dan biasanya akan pulang sebelum waktu Maghrib dan mungkin dia mengambil bola di dalam paya susulan penemuan sebiji bola miliknya di lokasi kejadian.

"Memang sedih apabila cucu ditemui dalam keadaan tidak bernyawa, tetapi saya terima ketentuan Allah SWT," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.

Abd Rahman Mamat, 63  menunjukkan gambar cucunya,  Muhammad Syafiq Abdullah, 6 yang ditemui lemas di sebuah paya di Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga di sini hari ini.  FOTO GHAZALI KORI
Abd Rahman Mamat, 63 menunjukkan gambar cucunya, Muhammad Syafiq Abdullah, 6 yang ditemui lemas di sebuah paya di Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Abd Rahman berkata, kali terakhir dia bertemu cucunya pada minggu lalu ketika dia melawat anak dan cucunya di kediaman mereka.

Menurutnya, mereka memang selalu berjumpa dan sekiranya tidak berjumpa, mereka sentiasa berhubung di telefon.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Beris selepas solat Asar.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang semalam, ditemukan lemas di dalam paya di Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 4:32 PM