Ustaz Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi

Kisah perkahwinan yang menjadi tular selepas seorang lelaki berusia 41 tahun berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun baru-baru ini mendapat pelbagai reaksi masyarakat.

Orang ramai rata-rata menyatakan rasa kesal dan terkejut dengan tindakan lelaki itu kerana mengahwini kanak-kanak yang masih di bawah umur.

Perkahwinan itu dilaporkan diadakan di sebuah masjid di Selatan Thailand pada 18 Jun lalu yang turut dihadiri ibu bapa budak itu serta dua saksi.

Perihal sah perkahwinan itu dari sudut hukum syarak memang tidak dipersoalkan berikutan wali (bapa) sudah memberi keizinan serta mendapat persetujuan kanak-kanak itu selain sudah memenuhi rukun nikah.

Namun, perkahwinan itu dipertikaikan disebabkan beberapa perkara antaranya menyatakan tindakan itu sebagai satu sunah Rasulullah SAW yang bersalahan dengan fakta yang sebenar selain dua isteri sedia ada mendakwa suami tidak berlaku adil dalam berpoligami kerana mengabaikan nafkah keluarga.

Pendakwah bebas, Ustaz Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi berkata, perundangan di negara ini tidak mengiktiraf mana-mana pasangan Islam yang berkahwin dan tidak berdaftar mengikut perundangan Malaysia.

Menurutnya, pasangan itu melakukan kesalahan di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Kelantan) 2002 mengikut Seksyen 39.

“Hal itu perlu dilaporkan ke pejabat agama Islam daerah dan satu laporan polis juga dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan serta memulakan pendakwaan selaras dengan Seksyen 27 iaitu melaporkan perkahwinan yang tidak sah di bawah enakmen sama.

“Bahkan, ia boleh disabitkan salah mengikut Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang mana jika berlaku hubungan seksual, boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau dihukum sebat,” katanya.

Beliau yang juga peguam syarie berkata, lelaki itu bukan hanya salah melakukan perkahwinan dengan kanak-kanak bawah umur, bahkan melakukan kesalahan berpoligami tanpa izin.

“Ia bertentangan dengan Seksyen 23 iaitu prosedur permohonan poligami yang sah mengikut undang-undang.

“Penguat kuasa agama boleh mendakwa pasangan itu serta mengesahkan perkahwinan mereka terlebih dahulu.

“Disebabkan perkahwinan pasangan itu belum disahkan Mahkamah Syariah atau mendapat pengesahan mengikut hukum syarak dan undang-undang, maka dakwaan mereka sebagai pasangan suami isteri tidak dibenarkan.

“Mereka hanya dinikahkan oleh bapa kandung atau walinya. Setelah didapati pernikahan itu tidak sah dan menyalahi peruntukan enakmen seperti Seksyen 8 iaitu berkaitan umur minimum seorang perempuan untuk berkahwin, maka pihak mahkamah berkuasa memisahkan atau memutuskan perkahwinan itu tidak mengikut hukum syarak dan dibubarkan,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata, tindakan mengaitkan perkahwinan yang dilaksanakan itu sebagai sunah Rasulullah SAW adalah satu pembohongan dan satu alasan jahat.

“Faktanya perlu difahami dengan jelas. Terdapat khilaf dalam kalangan ulama mengenai usia baginda ketika berkahwin dengan Saidatina Aisyah.

“Ada pendapat menyatakan isu usia perkahwinan nabi dan Aisyah itu dimomokkan dakyah puak syiah.

“Aisyah semasa itu bukan berusia 8 tahun tetapi 16 tahun. Ada juga riwayat lain menyatakan, baginda berkahwin sahaja pada umur itu dengan Aisyah, tetapi tidak tinggal bersama sehingga Aisyah meningkat umur remaja,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, khilaf itu tidak boleh dijadikan hujah mana-mana pasangan untuk berkahwin dengan kanak-kanak dan mendakwa ia adalah tuntutan agama.

“Usia perkahwinan yang ditetapkan oleh undang-undang adalah diguna pakai daripada penghujahan nas al-Quran dan hadis selain melihat faktor kemampuan fizikal seorang perempuan.

“Ini termasuk mengandung dan melahirkan anak secara semula jadi tanpa dikaitkan dengan apa-apa unsur kezaliman dan penyeksaan terhadap wanita.

“Islam amat menjaga dan mengangkat martabat wanita dengan sebaik-baiknya. Itu adalah pesanan baginda sebelum wafat,” katanya.

Katanya, dalam perkahwinan, baginda menyuruh umatnya memilih pasangan berdasarkan kepada empat perkara iaitu kerana agama, kecantikan, harta dan juga keturunan.

“Nabi SAW menyuruh memilih yang beragama supaya pasangan itu berasa tenang apabila mengikut syariat Allah SWT.

“Bahkan, elemen sekufu dalam memilih pasangan juga amat penting kerana tidak mahu timbul perbalahan di kemudian hari.

“Sekufu itu dari sudut umur, taraf hidup serta kemampuan setiap pasangan. Ia bukan hanya isu ekonomi dan kewangan sahaja.

“Uruf berkaitan umur juga tidak sama pada masa ini. Berbeza dengan zaman dahulu di mana golongan wanita berkahwin pada usia belasan tahun, tetapi kini dengan meningkatnya taraf pendidikan, maka undang-undang menetapkan usia minimum untuk berkahwin,” katanya.

Beliau berkata, berkahwin adalah sunah yang disukai nabi SAW dan baginda berbangga dengan umatnya yang ramai di mahsyar kelak.

Sunah perkahwinan dalam Islam itu adalah berlaku adil kepada pasangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 2:36 PM