GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Tidak mendapat kebenaran wali, tentangan keluarga, keinginan untuk berpoligami dan enggan mengikut prosedur yang dikatakan rumit, antara faktor mendorong pasangan Islam negeri ini, berkahwin di Thailand.

Perkahwinan tanpa kebenaran itu juga melanggar undang-undang mengikut Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002, yang mensabitkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan melakukan pelbagai usaha untuk membantu pasangan termasuk melaksanakan program pemutihan pendaftaran perkahwinan tanpa kebenaran selama tiga bulan.

"Program bermula 14 November 2021 hingga 14 Februari 2022 yang menyasarkan perkahwinan pada 2005 dan sebelumnya.

"Dalam tempoh itu, 207 kes didaftar di Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam (60 kes), Pejabat Agama Pasir Mas (46 kes), Kota Bharu (23 kes), Tumpat (21 kes), Tanah Merah (16 kes), Bachok (12 kes) dan Kuala Krai (lapan kes).

"Masing-masing tujuh kes di Pasir Puteh dan Machang, sementara empat kes di Jeli dan Gua Musang (tiga kes)," katanya menjawab soalan Mohd Adanan Hassan (Pas-Kelaboran) pada sesi pertanyaan di Persidangan Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata, perkahwinan tanpa kebenaran adalah perkahwinan yang melanggar batas normal kemasyarakatan dan untuk mendaftar, pemohon hanya perlu ke Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam atau pejabat agama jajahan, tanpa perlu membayar denda di mahkamah.

"Usaha lain yang dilakukan untuk menggalakkan mereka daftar selepas kahwin di Thailand ialah melalui penerangan dalam kursus praperkahwinan, perjumpaan imam mukim supaya memaklumkan perkara ini kepada anak mukim, perjumpaan Penolong Pendaftar Perkahwinan mengenai kepentingan daftar kahwin dan ceramah kesan kahwin yang tidak didaftarkan," katanya.

Mengenai kelewatan pendaftaran yang ditanya Hassan Mahamood (Pas-Tawang) dan usaha mempercepatkannya, katanya, ia mungkin disebabkan pasangan lambat mendaftar atau maklumat diberikan tidak mencukupi.

"Mereka kahwin di Thailand, tapi masuk ikut jalan tidak sah dan siapa hendak sahkan perkahwinan ini.

"Mereka perlu masuk cop pasport dan kalau peraturan itu diikuti, maka pendaftaran dapat dilakukan segera," katanya.

Tegasnya, kerajaan negeri bukan hendak merumitkan proses pendaftaran perkahwinan mahupun melangsungkan pernikahan di sini, namun bakal pengantin perlu mengikut prosedur yang betul.

"Pasangan mahu poligami, perlu mohon kebenaran mahkamah walaupun isteri pertama tidak setuju, jika mahkamah dapati pemohon menepati syarat ditetapkan oleh syarak, maka pihak mahkamah boleh beri kebenaran.

"Jadi tidak timbul masalah langsung dalam perkara ini, cuma perlu keberanian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 12:01 PM