Seorang pengarah syarikat pembinaan direman lima hari bermula hari ini selepas dipercayai menawar dan memberikan wang suapan RM50,000 kepada seorang pegawai polis. FOTO Norzamira Che Noh
Seorang pengarah syarikat pembinaan direman lima hari bermula hari ini selepas dipercayai menawar dan memberikan wang suapan RM50,000 kepada seorang pegawai polis. FOTO Norzamira Che Noh
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang pengarah syarikat pembinaan direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menawar dan memberikan suapan RM50,000 kepada pegawai polis ketika Operasi Penyimpanan dan Penjualan minyak diesel bersubsidi di sebuah gudang di Teluk Gong, Pelabuhan Klang malam tadi.

Perintah reman sehingga 6 Februari itu dikeluarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan di Kampung Telok Gong Pelabuhan Klang pada jam 11.20 malam tadi hasil kerjasama antara SPRM Selangor dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Difahamkan, suapan yang ditawarkan kepada seorang pegawai polis berpangkat inspektor itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan menyimpan dan menjual minyak diesel bersubsidi tanpa lesen.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang pekerja sambilan di sekolah memandu di Petaling Jaya turut direman lima hari bermula hari ini selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah RM650 dari seorang calon ujian memandu kereta.

Difahamkan, wang berkenaan adalah sebagai dorongan untuk membantu calon berkenaan mendapatkan lesen memandu tanpa gagal atau gerenti lulus.

Suspek wanita berusia 47 tahun itu yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kanan di sebuah Pihak Berkuasa Tempatan ditahan di Pejabat SPRM Selangor, petang semalam ketika hadir memberikan kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 16 (a) (A) ASPRM 2009.

#kw reman, rasuah, suapan, SPRM, operasi, pengarah, gudang, Shah Alam

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 2:26 PM