GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang lagi kakitangan sebuah agensi kerajaan direman tiga hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik sebuah syarikat swasta sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai lebih RM180,000.

Perintah reman sehingga 15 Oktober terhadap lelaki berusia 57 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Semalam, dua kakitangan agensi yang sama direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes yang sama.

Sumber berkata, kedua-dua suspek berusia 37 dan 40 tahun itu disyaki meminta wang suapan kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk syarikat itu mendapatkan kontrak membekal, menghantar serta memasang kelengkapan dan peralatan pejabat yang dianggarkan bernilai lebih RM180,000 daripada agensi berkenaan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang penolong pegawai agensi perladangan direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM15,000.

Perintah reman sehingga 17 Oktober itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil terhadap suspek lelaki berusia 41 tahun.

Menurut sumber, suspek ditahan sekitar 4 petang semalam di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, suspek bersubahat dengan seorang pemilik syarikat dalam mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja pembekalan pasir sungai dan tanah kepada agensi perladangan berkenaan, sedangkan kerja itu tidak dilaksanakan.

Kejadian itu berlaku pada 2018 ketika suspek bertugas sebagai pengurus perniagaan agensi yang sama di Klang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 12:04 PM