KURMA yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
KURMA yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Cubaan syarikat membawa masuk 25,200 kilogram (kg) kurma dari Arab Saudi menerusi Pelabuhan Barat dekat sini gagal apabila ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor, Sabtu lalu.

Pemangku Pengarah MAQIS Selangor, Zamri Hashim berkata, rampasan itu dibuat pada 11 pagi selepas pemeriksaan rutin oleh pegawai MAQIS.

"Barang dagangan seberat 25,200 kg berkenaan dianggarkan bernilai RM141,229.44 ditahan kerana tidak mematuhi syarat seperti mana yang dinyatakan pada permit import MAQIS iaitu tidak mematuhi Sijil Perakuan 3P Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan.

"Kegagalan mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 15(2) Akta yang sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kurma berkenaan dipercayai dibawa masuk ke negara ini untuk Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 11:46 AM