SUSPEK dibawa ke Mahkamah Majistret untuk perintah tahanan reman. FOTO Ihsan SPRM.
SUSPEK dibawa ke Mahkamah Majistret untuk perintah tahanan reman. FOTO Ihsan SPRM.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat teknologi maklumat kerana disyaki menerima rasuah.

Sumber berkata, suspek menerima suapan antara RM800 hingga RM1,500 sebagai balasan membantu majikan atau ejen dalam proses mendapatkan kuota pekerja asing.

Kata sumber itu, CEO berusia 50-an bersama seorang pegawai kanannya berusia lingkungan 40-an dan enam lagi suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, semalam.

Sumber berkata, dua wanita masing-masing berusia 40-an bekerja di syarikat agensi pekerjaan, manakala dua lagi suspek lelaki berusia antara 50 hingga 60-an adalah pemilik syarikat agensi pekerjaan.

Katanya, enam suspek termasuk dua wanita direman tiga hari, manakala dua lagi suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas diambil keterangan.

"Syarikat teknologi maklumat itu dipercayai penyedia platform bagi permohonan pekerja asing yang dilantik kerajaan dan sudah terbabit dalam memproses kira-kira 345,861 kuota bagi tempoh Mei 2022 hingga 29 Julai 2022.

"Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin menetapkan perintah reman bermula hari ini sehingga 5 Ogos terhadap suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 6:38 PM