PENDUDUK Kampung Seberang Batu Badak membersihkan  kediaman selepas bah surut. FOTO Ahmad Ismail
PENDUDUK Kampung Seberang Batu Badak membersihkan kediaman selepas bah surut. FOTO Ahmad Ismail
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Keadaan banjir di Johor semakin pulih apabila hanya ada 1,521 mangsa daripada 419 keluarga ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 2 petang hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah berkenaan menunjukkan penurunan berbanding

seramai 2,138 mangsa daripada 602 keluarga ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara pada jam 12 tengah hari.

Beliau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, hanya empat daerah masih terjejas akibat banjir membabitkan Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi dan Segamat.

"Lima PPS turut ditutup dan Batu Pahat masih lagi menjadi daerah paling ramai bilangan mangsa banjir dengan jumlah terkini 879 orang daripada 246 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.

"Mangsa banjir di Mersing pula kini berjumlah mencatatkan penurunan drastik iaitu 329 mangsa membabitkan 87 keluarga di tiga PPS berbanding 823 daripada 241 keluarga di enam PPS.

"Seramai 223 mangsa membabitkan 59 keluarga ditempatkan di empat PPS di Kota Tinggi berbanding 344 mangsa daripada 87 keluarga di lima PPS pada tengah hari.

"Manakala, Segamat turut mencatat sedikit penurunan dengan mencatat 90 mangsa membabitkan 27 keluarga di tiga PPS berbanding 92 mangsa daripada 28 keluarga di empat PPS," katanya menerusi siaran media hari ini.

Azmi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan di Mersing, Jalan Tanah Abang dan selekoh pertama Tanah Abang masih ditutup disebabkan air naik setinggi 0.85 meter (m).

"Di Kulai, Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh," katanya.

Azmi berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan di Mersing, Sungai Endau kini mencatatkan bacaan 1.94m (tahap amaran) berbanding 2.38m sebelumnya,

manakala di Segamat, Sungai Muar di Buloh Kasap berada pada paras amaran dengan bacaan 8.84 m berbanding 8.87m sebelumnya.

"Di Batu Pahat yang membabitkan Sungai Bekok berada pada paras amaran iaitu 18.58 berbanding 18.57 sebelumnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 3:46 PM