KEADAAN bilik yang berselerak dan perompak dipercayai memasuki rumah melalui tingkap tandas. FOTO NSTP
KEADAAN bilik yang berselerak dan perompak dipercayai memasuki rumah melalui tingkap tandas. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Rawang: Menyusup masuk melalui tingkap tandas sebelum meninggalkan najis berhampiran sinki di hadapan rumah yang dipecah masuk.

Itu antara tindakan aneh dilakukan geng najis yang terus mengganas melakukan jenayah pecah rumah di Bandar Tasik Puteri, pagi semalam.

Dalam kes terbaru sekitar jam 5 pagi semalam, penjenayah sempat melarikan buku cek milik penghuni yang langsung tidak menyedari kediamannya diceroboh.

Pengawal keselamatan di kawasan perumahan itu, Khairirul Fazli A Rani, 44, berkata, ketika kejadian, dia membuat rondaan sebelum dimaklumkan sebuah rumah hampir dipecah masuk seorang lelaki jam 5 pagi.

Katanya, berdasarkan maklumat penghuni rumah berdekatan berusia 20-an, dia terdengar bunyi tingkap di tingkat bawah rumahnya diumpil sebelum melihat kelibat seorang lelaki.

“Dia yang terkejut dengan kehadiran penjenayah terbabit menjerit menyebabkan suspek terus melarikan diri.

“Pemeriksaan di rumah itu menemui satu beg plastik mengandungi buku cek, resit bayaran dan cermin mata, selain kasut baru serta selipar dipercayai digunakan penjenayah,” katanya.

Kharirul berkata, susulan penemuan barang itu, dia bergegas ke rumah pemilik buku cek terbabit yang terletak di kawasan perumahan sama.

“Pemilik buku cek yang juga lelaki warga emas berusia lingkungan 70-an terkejut mendapati rumahnya berselerak selain mendakwa sukar bangun tidur berbanding hari lain.

“Pemeriksaan di rumah itu mendapati beberapa barang miliknya termasuk buku cek hilang dilarikan penjenayah selain penemuan najis manusia,” katanya.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Kejadian itu adalah kes kedua membabitkan insiden pecah rumah di kawasan perumahan yang sama dalam tempoh tiga hari lalu.

Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang kontraktor kerugian RM3,000 selepas barang dan wang tunai miliknya dilarikan penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Bandar Tasik Puteri.

Malah, penjenayah itu turut meninggalkan najis di tempat letak kereta depan rumah mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 12:36 PM