Enam lelaki melarikan 24 kabel tembaga dan peralatan membaiki motosikal di sebuah kedai elektrik dan alat ganti di Taman Beringin Indah, di sini hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Enam lelaki melarikan 24 kabel tembaga dan peralatan membaiki motosikal di sebuah kedai elektrik dan alat ganti di Taman Beringin Indah, di sini hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Seorang pemilik kedai barang elektrik terpaksa menanggung kerugian bernilai RM20,000 selepas kabel tembaga dan peralatan membaiki motosikal dilarikan enam penyamun di premisnya di Taman Beringin Indah, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, pemilik premis terbabit menghubungi polis memaklumkan kedainya dipecah masuk sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil pemeriksaan lanjut polis mendapati terdapat kesan umpil dan pecah masuk pada pintu jeriji dan 'shutter' di premis terbabit.

Menurutnya, anggota polis yang menjalankan siasatan mendapati kabel tembaga dan peralatan membaiki motosikal turut dilarikan penjenayah.

"Hasil semakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati enam lelaki memecah masuk premis berkenaan sebelum melarikan kabel tembaga menggunakan sebuah lori.

"Rakaman CCTV itu juga menunjukkan tiga suspek menaiki lori mankala selebihnya menunggang tiga motosikal namun jenis dan nombor pendaftaraan tidak dapat dikenal pasti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, hasil siasatan lanjut lori berkenaan dikesan ditinggalkan suspek di tepi jalan Kampung Lebai Man iaitu kira-kira satu kilometer dari kedai yang dipecah masuk.

"Setakat ini, polis masih mengesan semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 6:19 PM