SEBAHAGIAN peserta bergambar kenangan di Sunway Pyramid.
SEBAHAGIAN peserta bergambar kenangan di Sunway Pyramid.
Oleh Mohd Badlishah Md Ali


Petaling Jaya: Meriah dan padat dengan aksi hebat. Itulah kemeriahan Karnival Bowling Remaja Perpaduan Berpasukan di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, baru baru ini.

Program itu berjaya menggamit penyertaan kira-kira 200 pelajar sekolah dan ibu bapa.

Sebanyak 24 pasukan sekolah rendah dan menengah beradu kekuatan dalam suasana meriah.

Semua pasukan yang menyahut cabaran itu berjaya mematuhi syarat utama kejohanan iaitu mendaftar lebih dua kaum dalam pasukan.

Kategori berpasukan sekolah rendah diungguli SK Bandar Hilir, Melaka dengan jumlah jatuhan pin 1,676, purata 140 jatuhan pin setiap game manakala naib juara milik SK St Francis, Melaka (1,306 pin) dan tempat ketiga dimenangi SK Klang Utama (1,295 pin).

Kategori sekolah menengah pula milik SMK Infant Jesus Convent, Melaka menerusi 2,107 jatuhan pin dengan purata 176 setiap game manakala naib juara disandang SMK St Francis 1, Melaka (2,085 pin) dan ketiga SMK Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Shah Alam (2,081 pin).

Semua hadiah disampaikan Pengurus Pemasaran Sukan Produk Nestle Ng Ping Loong.

Menurut Ping Loong, program itu memberi kesan positif kepada semua pihak terbabit dan paling penting memupuk perpaduan dalam kalangan peserta berbilang kaum.

“Inilah matlamat utama kami dan saya gembira menyaksikan peserta bertanding penuh keriangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:13 AM