Muhamad Lokman Khairi


Bagan Datuk: Sekurang-kurangnya 4,000 peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan apabila Jambatan Bagan Datuk - Kampung Sejagop siap dibina dan dijangka beroperasi April tahun ini.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melawat tapak pembinaan jambatan yang menghubungkan Pekan Bagan Datuk dalam daerah Bagan Datuk dengan Kampung Sejagop dalam daerah Perak Tengah, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata pembinaan jambatan itu dapat menjimatkan tempoh perjalanan warga Bagan Datuk ke Kuala Lumpur sehingga satu jam setengah apabila Lebuh Raya Pesisir Pantai Barat (WCE) lengkap nanti.

"Ini tentu memberikan kesan jangka panjang untuk warga Parlimen Bagan Datuk dan Pasir Salak. Saya sudah berbincang dengan pelabur asing supaya beberapa kilang dibina di seberang kedua-dua jambatan ini.

"Pada peringkat permulaan, 4000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan ia bakal bertambah kepada 10,000 menjelang 2030 nanti.

"Tentunya akan memacu pembangunan lain seperti bangunan komersial, kawasan perumahan dan kuasa beli oleh mereka yang bekerja di sini," katanya.

Menurut beliau, projek pembinaan jambatan yang bermula sejak akhir 2016 itu sepatutnya siap pada 2020 namun ditangguhkan akibat beberapa faktor.

"Kita tahu terdapat beberapa kekangan yang dihadapi seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak kontraktor utama iaitu Naza Construction hadapi kenaikan kos bahan binaan, masalah pekerja di lapangan serta iklim. Kini jambatan ini sudah 97 peratus siap," katanya.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, projek yang menelan belanja RM406 juta itu membabitkan pembinaan jalan raya dari Pekan Jalan Datuk sejauh 8.2 kilometer (km) menggunakan 'elevated rode' bagi mengatasi masalah tanah gambut di sebelah Bagan Datuk. Manakala, panjang jambatan berkenaan adalah 1.54 km merentasi Sungai Perak.

"Tiada kenaikann kos yang perlu dibayar oleh kerajaan kerana ini adalah 'design and build'. Maksudnya jika ada kenaikkan kos, ia akan ditanggung oleh kontraktor utama. Kerajaan bayar berdasar kos asal," jelasnya.

AHMAD Zahid mendengar taklimat dari jurutera pembinaan Jambatan Bagan Datuk - Kampung Sejagop. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
AHMAD Zahid mendengar taklimat dari jurutera pembinaan Jambatan Bagan Datuk - Kampung Sejagop. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2023 @ 9:35 PM