Muhamad Lokman Khairi


Bagan Datuk: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan UMNO sebagai parti yang sangat terbuka bagi ahlinya membuat sebarang aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkenaan keputusan meluluskan usul tambahan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), minggu lalu.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai tindakan ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammmad Rom membuat aduan kepada ROS berkenaan isu jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Menurut beliau, sememangnya terdapat klausa dalam Akta Pertubuhan 1966 yang menyatakan keputusan itu perlu dikemukakan kepada ROS.

"Pada hemat saya, isunya bukan untuk kelulusan dari ROS tapi 'dimaklumkan'.

"Segala proses mesyuarat sudah mematuhi perlembagaan UMNO dan Pengerusi Tetap Persidangan turut mengikut peraturan.

"Jadi jika ada laporan atau sebarang aduan yang dibuat kepada ROS, UMNO amat terbuka untuk mereka kemukannya. Kita harap ROS menerima keputusan yang dibuat PAU minggu lalu sebagai keputusan yang absah," kata Ahmad Zahid ketika melawat tapak pembinaan Jambatan Bagan Datuk - Kampung Sejagop, hari ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, biarkan ROS memuaskan hati mereka yang membuat analisa dan spekulasi berkenaan isu jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

"Saya menyerahkan diri kepada perwakilan dan mereka sudah membuat keputusan pada PAU minggu lalu.

"Apa yang penting adalah perpaduan dalam kepimpinan UMNO dapat dipertahankan," katanya.

 AHMAD Zahid ketika meninjau perkembangan pembinaan Jambatan Bagan Datuk - Kampung Sejagop hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
AHMAD Zahid ketika meninjau perkembangan pembinaan Jambatan Bagan Datuk - Kampung Sejagop hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2023 @ 8:54 PM