Zaid Salim


Kuala Terengganu: Suami isteri yang maut akibat kemalangan di Kilometer 41.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Selawa, Merchang, Marang dikatakan dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang.

Anak saudara mangsa, Mohd Syukri Musa, 36, berkata, bapa saudaranya, Ahmad Arshad Mamat, 50, ke hospital berkenaan untuk membuat pemeriksaan jantung.

Katanya, bapa saudara yang sebelum ini bekerja sebagai buruh binaan membuat pemeriksaan jantung setiap tiga bulan sekali.

"Setiap kali ke sana (HTAA) dia akan membawa isteri dan tiga anak menemaninya.

"Saya tinggal berjiran dengan mereka dan sedar keluarga itu keluar rumah pada 7 pagi tadi," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hoapital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.

Syukri berkata, dia mengetahui kemalangan menimpa bapa saudara and ibu saudaranya, Rozita Mamat, 41, selepas dihubungi jiran yang berada di lokasi kejadian.

Menurut Syukri, jirannya dalam perjalanan ke Melaka untuk menghadiri majlis konvokesyen sebelum mendapati kenderaan dinaiki bapa saudara terbabit kemalangan.

MOHD Syukri (kiri) di perkarangan Jabatan Forensik HSNZ. FOTO Zaid Salim
MOHD Syukri (kiri) di perkarangan Jabatan Forensik HSNZ. FOTO Zaid Salim

"Saya bekerja di Paka dan kebetulan pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina.

"Ketika menerima panggilan itu saya berada di rumah dan bergegas ke lokasi kejadian," katanya yang tinggal di Kampung Bukit Depu, Kuala Terengganu.

Menurutnya, mangsa memiliki tiga anak iaitu Nur Ain Fitriyah, 17; Muhammad Adami Najmudden, 13, dan Muhammad Adzli Abid Muayyad, 7.

"Ketiga-tiganya yang parah masih dirawat di HSNZ dan seorang daripada mereka dirawat di Unit Kecemasan," katanya.

Menurutnya, jenazah bapa dan ibu saudara akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Depu, di sini, malam ini sebaik selesai bedah siasat.

Dalam kejadian 8 pagi tadi, Ahmad Arshad meninggal dunia di Klinik Kesihatan Merchang, manakala Rozita maut di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 6:00 PM