ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO  ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba
Zaid Salim


Marang: Suami isteri maut manakala empat anak mereka parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 41.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Selawa, Merchang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi, mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Arshad Mamat, 50, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Merchang, manakala isterinya, Rozita Mamat, 41, pula maut di tempat kejadian.

Manakala, tiga anak pasangan terbabit iaitu Nur Ain Fitriyah, 17, Muhammad Adami Najmudden, 13, dan Muhammad Adzli Abid Muayyad, 7, yang parah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan.

Sementara, identiti mangsa lain yang cedera sedang dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian berlaku ketika keluarga terbabit yang menaiki Perodua Axia dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Bukit Depu, Kuala Terengganu menghala ke Dungun.

"Kemalangan berlaku apabila Proton Satria Neo yang dipandu lelaki berusia 20 tahun dari Rumah Murah Gong Gemia, Paka, Dungun dipercayai terbabas selepas melanggar lopak air di lokasi kejadian.

"Kenderaan terbabit yang hilang kawalan kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar Perodua Axia dinaiki enam beranak terbabit.

"Perlanggaran itu menyebabkan suami isteri terbabit tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, manakala dua lagi kenderaan iaitu Perodua Myvi dan Proton Wira yang berada di belakang Perodua Axia turut mengalami kerosakan," katanya.

Beliau berkata, kejadian berlaku selepas hujan menyebabkan permukaan jalan licin dan terdapat lopak air.

Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 3:29 PM