FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Hanya kerana menaikkan harga sawi pendek dan cili merah, sebuah pasaraya dijatuhi hukuman denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, hukuman denda RM70,000 itu dikenakan atas kesalahan mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Menurutnya, hakim Rasyihah Ghazali memutuskan demikian selepas mendengar pengakuan daripada wakil pasar raya berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapannya, semalam.

Mohd. Zuhairi berkata, pasar raya terbabit yang dipanggil sebagai Orang Kena Saman (OKS) melakukan kesalahan menaikkan peratusan margin kedua-dua bahan makanan itu.

"Sekilogram sawi pendek sebanyak 8.31 peratus yang mana tindakan itu menyebabkan kenaikan peratusan margin daripada 33.46 kepada 41.77 peratus. Sementara sekilogram cili merah sebanyak 8.59 peratus yang mana tindakan itu menyebabkan kenaikan peratusan margin daripada 7.04 kepada 15.63 peratus

"Penentuan pencatutan dibuat berdasarkan Peraturan 5 (1), Peraturan-Peraturan KawalanHarga dan Anti Pencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018," katanya tadi.

Justeru, OKS dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"KPDN Selangor berharap kes ini boleh menjadi satu isyarat dan peringatan terhadap mana-mana rantaian perniagaan supaya menjalankan aktiviti perniagaan secara beretika.

"Ini selaras dengan peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan demi mengimbangi keharmonian urus niaga di antara peniaga dan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 3:12 PM