ANGGOTA KPDNHEP Perak melakukan pemeriksaan harga barang di seluruh Perak. FOTO ihsan KPDNHEP PERAK
ANGGOTA KPDNHEP Perak melakukan pemeriksaan harga barang di seluruh Perak. FOTO ihsan KPDNHEP PERAK
Noor Hidayah Tanzizi


Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengeluarkan 57 notis dan 136 surat pemberitahuan kepada peniaga di negeri ini susulan kenaikan harga barangan seperti sayuran, ayam dan telur setakat semalam.

Pengarah KPDNHEP Perak Saifullizan Kamarul Zaman berkata, notis pengesanan maklumat barangan dan surat pemberitahuan semakan harga berkenaan dikeluarkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Menurutnya, seramai 176 anggota penguat kuasa dan 79 pegawai pemantau harga ditugaskan bagi melakukan pemeriksaan serta pemantauan harian di setiap rantaian pengedaran membabitkan pengeluar, pemborong dan peruncit di seluruh Perak.

"Pemeriksaan di beberapa lokasi di sekitar negeri ini mendapati barangan keperluan pengguna seperti kubis bunga, sawi, brokoli, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau serta ayam, telur menunjukkan peningkatan harga di pasaran sejak beberapa minggu lalu.

"Sehingga semalam, kita mengeluarkan sebanyak 57 notis pengesanan maklumat barangan dan 136 surat pemberitahuan semakan harga barangan di bawah AKHAP 2011 kepada peniaga barangan keperluan yang disyaki terdapat unsur pengambilan keuntungan secara tidak munasabah (mencatut)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya mendapati kenaikan harga barangan keperluan berkenaan dipengaruhi oleh faktor seperti peningkatan kos pengeluaran, keadaan cuaca semasa yang tidak menentu dan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan dalam pasaran.

"Peniaga yang dikesan mengambil kesempatan dengan mencatut boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 14(1) AKHAP 2011," katanya.

Beliau berkata, rakyat di negeri itu disarankan menggunakan aplikasi Price Catcher yang dibangunkan oleh Kementerian secara percuma bagi memberi pilihan kepada pengguna ketika berbelanja.

"Aplikasi ini berupaya memberi pilihan yang lebih meluas kepada pengguna untuk membeli barangan keperluan kerana meliputi perkongsian harga lebih 400 barangan keperluan di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 4:21 PM