FARHAN  (tengah) mengedarkan bungkusan berisi risalah berkaitan keselamatan kebakaran kepada pengunjung di Lido Square, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan.
FARHAN (tengah) mengedarkan bungkusan berisi risalah berkaitan keselamatan kebakaran kepada pengunjung di Lido Square, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Lebih 60 peratus kebakaran struktur kediaman berpunca daripada kegagalan peralatan elektrik dan juga penyambungan tenaga elektrik berlebihan.

Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, justeru orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dengan penggunaan tenaga elektrik terutama ketika musim perayaan.

Katanya penggunaan tenaga elektrik akan meningkat pada musim perayaan kerana orang ramai akan berkumpul bersama keluarga.

"Musim perayaan ini, orang ramai akan pulang ke kampung dan berkumpul di rumah keluarga dan penggunaan tenaga elektrik lebih tinggi.

"Jadi pastikan, jangan menggunakan banyak tenaga elektrik daripada satu sumber yang sama kerana boleh menyebabkan berlaku kebakaran," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 di Lido Square, di sini, hari ini.

Pada pelancaran itu juga, JBPM Sabah menyumbangkan alat pemadam api bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan alat pemadam api sebagai medium pemadaman peringkat awalan.

Selain itu, edaran risalah berkaitan dengan keselamatan kebakaran juga dibuat kepada pengunjung dan peniaga di Lido Square.

Sementara itu, sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina 2023 ini, Farhan berkata, sebanyak 80 peratus dari lebih 900 pegawai dan anggota JBPM Sabah diarah bertugas.

Katanya, semua akan bersiap sedia untuk digerakkan sepanjang Perayaan Tahun Baharu Cina 2023.

"Semua akan bertugas dan kita akan meningkatkan lagi pemantauan dan pemeriksaan di kawasan-kawasan hotspot yang mana pegawai dan anggota akan membuat rondaan dari semasa ke semasa.

"Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 8:13 PM