FARHAN menyampaikan risalah keselamatan sempena Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 peringkat JBPM Sabah. FOTO Juwan Riduan
FARHAN menyampaikan risalah keselamatan sempena Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 peringkat JBPM Sabah. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Kebanyakan kes kebakaran berpunca daripada kecuaian atau sindrom 3L iaitu lupa, lalai dan leka.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, sindrom 3L menjadi penyebab kekerapan kebakaran di Sabah sepanjang Ramadan.

Menurutnya, orang ramai perlu sentiasa peka dan beringat ketika menggunakan peralatan elektrik atau peralatan dapur.

"Pepasangan dan perkakasan elektrik perlu diguna dengan betul dan selamat serta bebas daripada kerosakan selain pemeriksaan terhadap pendawaian lama yang berpotensi berlakunya litar pintas.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai juga disarankan supaya melengkapi rumah dengan sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api mudahalih bagi menangani kebakaran kecil atau peringkat awalan dengan cepat dan berkesan," katanya ketika berucap pada majlis Kempen Keselamatan Kebakaran Hari Raya Aidilfitri 2022 di Kampung Numbak, di sini, hari ini.

Farhan berkata, orang ramai juga digalakkan memasang alat pengesan asap mudahalih yang berperanan memberi amaran awal kebakaran.

Beliau berkata, berdasarkan statistik pada 2020 dan 2021, jumlah keseluruhan panggilan kecemasan meningkat sebanyak 35.21 peratus atau 12,077 panggilan.

Namun katanya, peningkatan itu disebabkan faktor pertambahan panggilan bagi tugas-tugas khas operasi sanitasi awam yang dilaksanakan di seluruh Sabah.

"Pecahan bagi panggilan kebakaran pada 2021 pula menurun sebanyak 43.32 peratus iaitu sebanyak 1,655 berbanding 2020 iaitu 2,920 jumlah panggilan.

"Baru-baru ini kejadian kebakaran penempatan atas air di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu, sangat menyayat hati dengan berita kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

"Hal ini yang sangat tidak diingini berlaku dan seharusnya dielakkan di masa akan datang. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa," katanya.

Sehubungan itu, Farhan berkata, dalam kempen kali ini, JBPM amat menggalakkan pembabitan kanak-kanak untuk memberi pendedahan dan seterusnya memberi kesedaran kepada semua peringkat masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 2:33 PM