GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menganjurkan 'Kempen Kesedaran Kebakaran' dalam usaha menurunkan kadar insiden kebakaran di perayaan pada Aidilfitri tahun ini berbanding dua tahun sebelumnya.

Mengikut statistik, JBPM menerima sebanyak 65 panggilan kebakaran pada 2019 dan meningkat kepada 66 panggilan kebakaran pada tahun lalu.

Pengarah JBPM Sabah Md Ali Ismail berkata, antara penyumbang utama peningkatan yang dikesan adalah penggunaan berkaitan peralatan elektrik dan kadar penggunaan elektrik yang tinggi.

Selain itu, katanya, leka ketika memasak di dapur dan membiarkan anak-anak bermain api turut dikenal pasti mengundang kepada insiden yang tidak diingini.

"Bagi mengelakkan insiden seperti ini berlaku, masyarakat perlu memastikan segala peralatan elektrik dan aktiviti memasak sentiasa terjaga.

"JBPM juga menggalakkan penghuni kediaman menyediakan alat pemadam api di rumah masing-masing sebagai langkah pencegahan awal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan Aidilfitri 2021 di sini, hari ini.

Md Ali berkata, selain kebakaran, insiden kemalangan jalan raya juga yang sering dilaporkan berlaku di musim perayaan.

Menurutnya, berdasarkan statistik Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Sabah, pihaknya mencatatkan sebanyak 22 kes pada 2019.

"Bagaimanapun, jumlah kes menurun pada tahun lalu kepada 15 kes. Kita mengharapkan statistik ini akan menurun lagi pada tahun ini.

"Penurunan ini adalah disebabkan usaha-usaha meningkatkan kesedaran awam secara berterusan oleh pelbagai pihak menerusi media," katanya.

Sehubungan itu, Md Ali menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil perhatian yang serius terhadap keselamatan kebakaran.

Katanya, begitu juga dengan pengguna jalan raya yang dinasihatkan supaya memandu secara berhemah dan berhati-hati semasa berada di jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 5:32 PM