JENAZAH Abdul Mutalib Hussin yang ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari pokok kelapa setinggi di Kampung Jal Kechik. FOTO Ihsan pembaca.
JENAZAH Abdul Mutalib Hussin yang ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari pokok kelapa setinggi di Kampung Jal Kechik. FOTO Ihsan pembaca.
Siti Rohana Idris


Tumpat: Lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari pokok kelapa setinggi 20 meter di Kampung Jal Kechik, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi tadi, mangsa, Abdul Mutalib Hussin, 69, ditemui terbaring atas tanah oleh pemilik kebun kelapa.

Ahli keluarga mangsa, Sabri Ya, 56, berkata, dia dihubungi pemilik kebun kelapa itu yang memaklumkan kejadian itu.

"Saya bergegas ke kebun kelapa itu dan mendapati dia (mangsa) masih terbaring tidak sedarkan diri dan saya percayai dia terjatuh ketika sedang memetik kelapa.

"Dia tidak berkeluarga dan bekerja sebagai pemetik kelapa sejak beberapa tahun lalu di sekitar kampung ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sabri berkata mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jal Kechik di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, hasil siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Mangsa disahkan meninggalkan dunia oleh Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Wakaf Bharu dan hasil proses bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada paru-paru dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 6:37 PM